Selepas Barty membatalkan penyertaan dalam Tenis Terbuka AS, lebih ramai jaguh dijangka mengikuti langkah sama akibat ancaman Covid-19 di negara tersebut.

NEW YORK – Jaguh tenis tersohor dunia, Andy Murray menjangkakan lebih ramai pemain handalan tenis akan mengikuti langkah pemain Australia menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat akibat kebimbangan penularan Covid-19.

Grand Slam Tenis kali ini akan diadakan secara tertutup tanpa penonton bermula 31 Ogos ini di Flushing Meadows, New York.

Jaguh Tenis Wanita nombor satu dunia dari Australia, Ashleigh Barty yang sebelum ini dikatakan akan menyertai Grand Slam berkenaan telah menarik diri daripada kejohanan itu selepas menyedari kewujudan ancaman pandemik itu.

“Masih ada risiko sekiranya saya pergi ke New York untuk menyertai kejohanan itu,” kata Bartey.

“Saya rasa kita perlu sabar dan tunggu lihat perkembangan demi keselamatan nyawa semua pihak dan itu adalah keputusan perdibadi semua,” dakwa Murray yang bertegas untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Jaguh berusia 33 tahun dari Scotland itu juga merancang untuk berentap dalam Kejohanan Tenis Terbuka Western dan Southern selepas selesainya Terbuka AS.

Penganjur kejohanan di ketiga-tiga venue itu dikatakan bersiap sedia dengan protokol kesihatan yang ketat untuk dipatuhi setiap individu yang hadir ke zon sukan itu.

Sementara jaguh Serbia Novak Djokovic selaku pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Terbuka AS dari Sepanyol, Rafael Nadal kedua-duanya namanya dimasukkan dalam senarai peserta Terbuka Western dan Southern meskipun mereka masih belum mengesahkan hasratnya.

Manakala ratu tenis wanita dari AS, Serena Williams sudah mengesahkan penyertaannya dalam kedua-dua kejohanan itu.

Namun beberapa jaguh lain dari negara seperti Kanada dan sebagainya turut menarik diri daripada kejohanan tersebut akibat ancaman Covid-19 yang masih wujud di New York.-MalaysiaGazette