Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Rahia ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan,” katanya ringkas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.

Terdahulu itu, SPR dilapor mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.

Tiga belas DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka; N06 Bandau; N08 Pintasan; N13 Pantai Dalit; N17 Darau; N24 Tanjung Keramat; N27 Limbahau; N44 Tulid; N47 Telupid; N51 Sungai Manila; N58 Lamag; N61 Segama dan N70 Kukusan.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast