Ahli jawatankuasa MAPIM Malaysia melakukan penyembelihan ibadah korban lembu sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada Asnaf-asnaf tempatan dan pelarian di Masjid Al Hasanah, Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2020

BANGI – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengerjakan ibadah korban dengan penuh tertib, terkawal hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, walaupun berdepan kesukaran namun dengan pengalaman SOP medan perang dan bencana membantu pihaknya meneruskan kolaborasi buat tahun ketujuh dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap wakaf Turki, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) berjaya mengerjakan ibadah korban merentasi sempadan.

Katanya, penyertaan peserta korban di seluruh negara pada tahun ini membabitkan sebanyak 150 ekor lembu.

“Ini bukan sahaja memberi fokus mengagihkan daging korban yang segar di dalam negara membabitkan golongan asnaf termasuk ibu tunggal, fakir miskin, pelarian serta orang kelainan upaya sebaliknya turut melibatkan komuniti memerlukan pelarian di Bangladesh, Afrika,  Myanmar dan Malaysia.

“Saya kira ini satu petanda yang baik yang membayangkan betapa Covid ini menguji kita dan inilah rakyat Malaysia yang kita kasihi saat mereka diuji, mereka tetap dapat menzahirkan rasa kesyukuran dengan memberi dan membantu menyumbang bahagian daging korban kepada mereka yang memerlukan.

“Untuk program tahun ini, sebanyak 150 ekor lembu telah dikumpul untuk dikorbankan dan akan dilapah serta diagihkan kepada semua golongan fakir dalam negara di negeri-negeri terpilih antaranya di tujuh negeri iaitu Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada majlis Ibadah Qurban Mapim di Masjid Jamek Al Hasanah, Bandar Baru Bangi hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 52 ekor lembu disembelih di Masjid Al-Hasanah dan daripada jumlah itu hanya lima ekor daripadanya disembilih dan dilapah di masjid berkenaan untuk diagihkan kepada lebih 100 keluarga di  sekitar Bangi.

Manakala, 48 ekor lembu lagi yang telah disembelih di masjid itu akan dilapah di kawasan dan daerah lain dengan lima hingga enam ekor lembu di sesebuah kawasan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Ahmad Sani Araby Al Kahery bercakap kepada media pada Majlis Ibadah Qurban MAPIM sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada Asnaf-asnaf tempatan dan pelarian di Masjid Al Hasanah, Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2020

“MAPIM ucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Turki secara umum dan rakyat kita khususnya yang bukan sahaja kita jaga kita dalam versi menang Covid tetapi juga kita jaga kita dalam versi menyantuni saudara kita di seluruh dunia, itulah makna sebenar dalam ibadah korban yang dituntut Islam pada hari mulia ini.

“Manakala untuk luar negara, kita berjaya mendapatkan sumbangan lebih 2,000 ekor, yang mana jumlah keseluruhan itu cukup untuk diagihkan yang dikira tidak sebegitu besar tetapi cukup menzahirkan usaha kerdil rakyat Malaysia untuk menyantuni saudara kita di dalam dan luar negara.

“Keseluruhan penerima bahagian daging lembu kalau lihat adalah menjangkakan seperti tahun lepas lebih kurang 80,000 keluarga tapi harapkan lebih tahun ini, kerana kalau di luar negara kita juga memberi kotak bantuan dan makanan siap masak khususnya di Syria, Bangladesh, Yemen dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan penyumbang yang tidak dapat bersama menyertai ibadah korban disebabkan syarat ketat SOP namun ia tidak menghalang mereka berkorban.

“Insyallah dalam masa terdekat lagi kita akan melancarkan pakej yang mana rakyat boleh menyertai ibadat korban dengan bayaran 10 kali secara ansuran untuk menyumbang bahagian daging lembu kepada fakir miskin tanpa merasai beban kewangan.

“Justeru, kita juga bekerjasama dengan Finas untuk mencari artis yang sudah terputus punca pencarian akibat Covid-19 akan dihulurkan kotak bantuan asas selain bahagian daging lembu jika ada berlebihan.

Ahli jawatankuasa MAPIM Malaysia mengikat seekor lembu untuk melakukan penyembelihan ibadah korban lembu sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada Asnaf-asnaf tempatan dan pelarian di Masjid Al Hasanah, Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2020

“Jumlah sumbangan Turki untuk fakir miskin dan pelarian di negara ini sahaja telah meningkat sekitar 92 ekor tahun ini berbanding 80 ekor sebelum ini dan hubungan ini memberi manfaat kepada asnaf dan fakir miskin serta pelarian yang ada di negara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, ibadah korban dengan kerjasama TDV Turki akan diperluaskan kembali seperti tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, pada tahun-tahun sebelum ini ibadah korban dilakukan di 40 buah negara tetapi kali ini Mapim terhalang dengan kebatasan SOP yang digariskan peringkat global akibat Covid-19. – MalaysiaGazette