KUALA LUMPUR – Usaha tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia, termasuk seorang wanita mengandung, yang cuba menyusup keluar dari perairan negara untuk balik ke negara asal tidak kesampaian apabila mereka dicekup anggota tentera darat.
Kejadian berlaku di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar kira-kira pukul 4 pagi dalam Op Benteng yang dilakukan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD)
“Anggota Pos Pemerhati, Kompeni Alpha 1 RRD, telah mengesan bunyi bot dan melihat isyarat kelipan lampu sebanyak dua kali dari arah bot ke pantai.
“Selang beberapa minit kelihatan kelibat pergerakan orang keluar dari arah hutan menuju ke bot yang berada 100 meter dari pantai di Ladang Sungai Tengah ,Bandar Penawar, Johor,” kata markas tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Ketua Kompeni, Mejar Mohd Hafizullah bin Mohd Rashidi menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke Kampung Gambut, Punggai sebelum berjaya menangkap kesemua tujuh PATI yang dipercayai ingin menyusup keluar dari Malaysia.
“Kesemua PATI yang ditangkap berusia di antara 20 hingga 53 tahun melibatkan 5 lelaki dan 2 wanita termasuk seorang wanita yang sedang sarat hamil dengan usia kandungan 7 bulan.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM15,512.50 melibatkan 15 buah telefon pintar pelbagai jenama dan wang tunai RM 6,933.50 serta wang tunai IR 6.9 Juta Rupiah (RM2,002).
“Kesemua PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette