MEKAH – Kira-kira 2, 400 liter cecair pembasmi kuman digunakan setiap hari untuk membersihkan Masjidil Haram pada musim haji tahun ini.
Ia sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran Covid-19, lapor Saudi Gazette semalam.
Dari jumlah 2,400 liter cecair pembasmi kuman, sekitar 1, 500 liter digunakan untuk permukaan masjid manakala selebihnya 900 liter sebagai alat steril manual.
Selain itu, lebih dari 1, 050 liter minyak wangi mewah digunakan bagi permaidani dan karpet.
Usaha pembersihan yang luar biasa dilakukan oleh Presiden Umum Urusan Dua Masjid Suci bagi meningkatkan usaha untuk memastikan keselamatan para tetamu Allah dan para pegawainya.
Masjidil Haram dan premisnya dibersihkan dan disterilkan sepenuhnya meliputi mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah Suci), mas’a (kawasan untuk ritual sai antara Safa dan Marwah), dan halaman luar selepas jemaah menunaikan Tawaf Ifadah dan sa’i, dua dari empat rukun haji.
Jabatan umum untuk urusan teknikal dan perkhidmatan dan jabatan pembersihan telah menggerakkan lebih dari 3,500 pekerja lelaki dan wanita untuk membersihkan dan mensterilkan seluruh premis masjid suci sekurang-kurangnya 10 kali setiap hari.
Mereka menggunakan bahan pembersih, pembasmian kuman, dan pensterilan dan penyegar udara yang berkualiti tinggi terutama dibawa untuk Masjidil Haram. – MalaysiaGazette