KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan sentiasa cermin diri dan ukur baju di badan sendiri memandangkan ramai pimpinan daripada parti ini dilihat cuba meneguk di air keruh bagi isu kerusi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Janganlah kerana kuasa sementara yang ada di peringkat tertentu, Bersatu semakin angkuh hingga dilihat bersungguh-sungguh menggunakan segala apa cara yang ada demi memastikan UMNO semakin dipinggirkan oleh Bersatu sendiri.
Sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang didokong oleh UMNO sendiri di peringkat nasional, Bersatu wajar bertindak dengan lebih rasional dan bukannya bermain dengan api seperti cubaan mengeluarkan sebarang kenyataan yang cuba merendahkan pimpinan dan parti UMNO, selain terus menunjukkan keangkuhan bagi merebut kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, Bersatu harus ingat waktu Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU-14) dahulu berapa sahaja kerusi yang dimenangi oleh parti itu.
Kerusi yang dimiliki mereka pasca PRU-14 termasuk di Sabah itu pun kerana faktor lompat parti dan bukan menang atas tiket Bersatu sendiri.
Malah, sebelum ini kita dapat lihat bagaimana nasib Bersatu setelah diganyang oleh UMNO, Muafakat Nasional, dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil seperti di Semenyih dan Tanjung Piai.
”Janganlah kerana atas faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri, ahli-ahli Bersatu fikir dapat berbuat sesuka hati saja tanpa memikirkan UMNO.
”Harus diingat barangkali Bersatu ini hanya relevan cuma atas faktor Muhyiddin yang masih menjadi Perdana Menteri semata-mata,” katanya yang menyifatkan teguran daripada beberapa pimpinan UMNO terhadap sikap Bersatu termasuk daripada Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dilihat tepat pada masanya.
Tambahnya, kepada setiap pimpinan Bersatu seperti Wan Ahmad Fahysal yang masih cuba menegakkan benang yang basah dalam hal ini, sekali lagi diingatkan supaya sentiasa cermin diri dan mengukur baju di badan sendiri!,” katanya. – MalaysiaGazette
Apa kata Umno bertanding, Bersatu pun bertanding. Sapa menang pun still dlm MN. Bru leh tau org nak Umno sgt ka tak. Korang pun patut cermin diri, korang la punca kerajaan bertukar dulu. Pemimpin yg merepek2 jugak korang nak angkat. Korang ingat Zahid layak jd PM? Try la calonkan dia tgk. Tgk apa jadi nanti.