MASYARAKAT perlu buang jauh-jauh sikap ‘terpaksa’ mematuhi
segala arahan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa hanya kerana takut dikompaun, didenda atau diheret ke mahkamah.
Budaya takut kepada penguatkuasaan seperti ini sama sekali tidak akan mencerminkan nilai integriti, keikhlasan dan kejujuran kita dalam semangat ingin berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani wabak Covid-19.
Sebaliknya anggota masyarakat perlu sedar pihak berkuasa memperkenalkan pelbagai SOP dengan niat dapat menyedarkan rakyat betapa perlunya kawalan kendiri dan bukannya sengaja mahu menyusahkan orang awam dengan kompaun atau denda.
Ringkasnya, pihak berkuasa mahu orang ramai bersedia melaksanakan kewajipan dengan memikul tanggungjawab bagi menjaga kesihatan dan keselamatan diri, keluarga dan juga orang di sekeliling.
Justeru kita perlu menghentikan budaya takut kepada kompaun sebaliknya mematuhi segala SOP dengan jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.
Misalnya mulai 1 Ogos orang ramai adalah diwajibkan untuk memakai pelitup muka di tempat awam dan semua lokasi pengangkutan awam yang sesak, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Sesiapa yang gagal untuk mematuhi peraturan iini boleh dikompaun RM1,000 dibawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Keputusan mewajibkan penggunaan pelitup muka itu adalah selepas mengambil kira penambahan beberapa kluster baru dan mendapat saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jadi dalam konteks ini apakah kita mahu memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak hanya kerana takut dikompaun RM1,000 atau kerana kesedaran virus ini boleh menular dengan mudah?
Tepuk dada dan tanya minda masing-masing. Andai
jawapan kita adalah kerana takut dikompaun maka jelaslah segala nasihat dan saranan pihak berkuasa selama ini hanya sia-sia sahaja kerana kita masih gagal untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh pihak berkuasa.
Sebaliknya jika kita memakai pelitup muka dengan niat ingin lindungi diri dan membantu memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 maka kita boleh berbangga kerana mampu menjadi masyarakat yang mempunyai nilai integriti dan sikap tanggungjawab yang tinggi.
Namun pemerhatian penulis sendiri di beberapa lokasi awam dan sesak sebelum ini mendapati masih ramai yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal seperti yang disarankan.
Misalnya masih ada yang degil dan menyusahkan para peniaga apabila tidak mahu menulis nama dan maklumat yang
diperlukan ketika memasuki sesuatu premis perniagaan.
Malah ada juga yang didapati menulis nama dan nombor telefon yang palsu. Persoalannya bukankah ini satu perbuatan yang menipu diri sendiri?
Apalah faedahnya kita berbuat seperti itu yang akhirnya boleh mengundang padah jika ada kes positif di kawasan tersebut. Ini
sekali gus membuktikan masih ramai yang degil dan tidak mahu mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan. Sikap dan tingkah laku seperti ini sangat mengecewakan.
Tatkala pihak berkuasa terutamanya petugas barisan hadapan
bertungkus-lumus untuk mengawal penularan wabak, masih ada lagi sebahagian anggota masyarakat kita yang tidak mahu memberikan kerjasama.
Penulis langsung tidak faham kenapa masih ada yang begitu degil dan tidak boleh mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Hakikatnya kita perlu sedar tidak mungkin pihak berkuasa mampu memantau gerak geri seluruh rakyat Malaysia pada sepanjang masa. Ini bermaksud tidak mungkin juga pihak berkuasa datang kompaun kita pada sepanjang masa jika kita tidak mematuhi SOP.
Hal ini kerana kita perlu akui kekangan jumlah penguatkuasa yang sangat terhad. Jadi hentikanlah perbuatan menipu diri sendiri dan hanya mahu mematuhi SOP di depan pihak berkuasa semata-mata.
Sebaliknya jujurlah pada diri sendiri dengan mematuhi segala nasihat dan SOP pihak berkuasa dengan ikhlas dan berniat untuk sama-sama mahu membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini.
Ingat, wabak ini belum berakhir dan kita belum menang lagi. Jadi kita perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa agar dapat memutuskan rantaian penularan wabak ini. Marilah kita buktikan mampu menjadi masyarakat yang berintegriti tinggi, prihatin dan bertanggungjawab.
Noor Mohamad Shakil Hameed
Serdang, Selangor