KUALA LUMPUR – Pelawak, Achey masih tidak melupakan bidang seni suara apabila akan mengeluarkan single terbaharu berjudul Sembuh pada bulan depan.
Achey, 34, daripada kumpulan Bocey berkata, single yang merupakan sambungan lagu Sakit sebelum ini bakal melengkap lagu-lagunya dalam satu album pada tahun ini.
“Saya rancang mengeluarkan tiga single untuk mencukupkan lagu dalam sebuah album, tahun ini. Jadi, single seterusnya berjudul Sembuh adalah kesinambungan daripada lagu Sakit.
“Insya-Allah, single Sembuh akan diperdengarkan dalam bulan hadapan,” katanya baru-baru ini.
Selepas muncul dengan single Yang Terindah, Makcik Bawang dan Anak, Achey tampil dengan single Sakit, hasil ciptaannya bersama Shouk Azis pada Disember tahun lalu.
Hingga kini, video muzik Sakit berjaya mengutip 22 juta tontonan di YouTube.
Achey baru-baru ini dilantik duta produk Sugarbomb bersama pengacara, Nabil Ahmad selain bekerjasama dengan pengeluar produk itu menghasilkan produk pewangi kereta dan minyak wangi.
Mengulas perkembangan Bocey selepas pemergiaan arwah Abam sejak enam bulan lalu, Achey dan Fad kini sedang merancang untuk mewujudkan saluran YouTube dan Facebook.
“Fad sedang membangunkan saluran YouTube. Dalam masa sama, kami merangka perjalanan dan pengisian dalam saluran berkenaan.
“Menerusi program yang dirancang, ada bahagian untuk arwah dan disalurkan buat keluarganya. Insya-Allah, ada penyokong atau tidak, kami akan meneruskan perjuangan Bocey,” katanya.
Selain itu, Achey turut menunaikan janji untuk menyempurnakan kerja arwah yang tergendala secara sukarela dan percuma. – MalaysiaGazette