Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Kedai nasi kandar yang melibatkan individu bawah siasatan (PUI) kluster Sivagangga di Kedah didapati tidak mengguna pakai aplikasi Mysejahtera serta gagal merekodkan suhu badan pengunjung.

Bukan itu sahaja, kedai makan tersebut juga tidak menyediakan sebarang buku untuk merekodkan kehadiran para pengunjung secara manual, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Senario itu, katanya, menyebabkan Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri berhadapan cabaran untuk mengesan kontak rapat pesakit Covid-19.

“Kluster individu bawah siasatan (PUI) Sivagangga ini merupakan sebuah kluster penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import (iaitu kes indeks bagi kluster ini).

“Kes indeks kluster PUI Sivagangga merupakan seorang pemilik kedai makan yang telah pulang ke Malaysia dari India dan diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat perintah tersebut,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Selain Kluster PUI Sivagangga, terdapat kluster aktif lain yang didapati tidak mematuhi HSO yang dilaksanakan dari 10 Jun hingga 23 Julai lalu iaitu Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar, Kluster PUI Shirala.

Dr. Noor Hisham berkata, satu kes baharu yang telah dilaporkan dalam kluster Sivagangga (iaitu kes ke-9000) merupakan seorang pelanggan tetap kedai makan tersebut.

Individu berkenaan telah menjalani saringan Covid-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai 2020 dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif, ujarnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, pada 31 Julai lalu, individu berkenaan mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

“Hanya sehari kemudiannya, iaitu selepas penglibatan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes telah memaklumkan bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif Covid-19 sebelum telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

“Mengambil iktibar daripada kes ini, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau sehingga kini seramai 425 orang daripada kluster Sivagangga telah disaring dan daripada jumlah itu sebanyak 21 individu didapati positif Covid-19.

Katanya, seramai 362 orang pula didapati negatif virus tersebut manakala 42 lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham tidak menolak kemungkinan punca jangkitan Covid-19 kluster Bukit Tiram adalah daripada dua pelajar yang baru pulang daripada Filipina.

Beliau memberitahu, kementeriannya telah memulakan siasatan dan terdapat kemungkinan jangkitan adalah daripada salah seorang daripada pelajar tersebut dan menjangkiti yang lain. – MalaysiaGazette