Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memotong daging lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha ketika hadir ke Program Korban Aidiladha JBPM 2020 di perkarangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 3 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam perancangan untuk meningkatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi proses sanitasi awam di semua restoran.

Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin, kementerian akan mengusulkan SOP baharu itu untuk mengenakan proses sanitasi sekali dalam enam bulan.

“Proses sanitasi juga dilakukan di semua restoran sebelum beroperasi dan itu kita akan jadikan norma baharu KPKT tengah teliti mungkin kita nak SOP setiap enam bulan sekali atau setahun sekali sanitasi.

“Itu kita (KPKT) tengah teliti berapa kerap mereka kena lakukan sanitasi ini,” katanya selepas menghadiri Program Qurban Aidiladha di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib.

Sebanyak 13 ekor lembu ditumbangkan pada Majlis Korban JBPM 2020, termasuk empat ekor lembu sumbangan pihaknya, sementara Dr Ismail menyumbang sebanyak dua ekor lembu dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin bin Abu Hasan menyumbang seekor lembu pada program korban kali ini.

Program itu turut membabitkan 42 pegawai daripada JBPM Ibu Pejabat dan Putrajaya manakala daging program korban kali ini akan diagihkan kepada beberapa golongan antaranya asnaf sekitar Putrajaya, Pusat Tahfiz Taman Putra Perdana, Asnaf JBPM, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Kenyataan Zuraida itu ekoran kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan terdapat kluster baru dikenal pasti di Kedah iaitu Kluster PUI Sivagangga, India pada Rabu lalu.

Ia membabitkan seorang pemilik kedai nasi kandar dan empat kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja premis terbabit.

Premis itu sudah ditutup untuk menjalani proses pembersihan dan nyah kuman.

Pemilik kedai nasi kandar itu telah dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan kuarantin di rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, lelaki berusia 57 tahun itu dipercayai pulang dari India pada 13 Julai lalu dan perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

Untuk rekod, sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya melakukan proses sanitasi di tempat-tempat awam dan tumpuan masyarakat antaranya pasar-pasar awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast