KUALA LUMPUR – Kriteria calon Parti Warisan dan parti sekutunya mesti seorang yang tidak akan lompat parti, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Presiden Parti Warisan itu berkata, kriteria itu diambilkira selain latar belakang pendidikan dan pengalaman dalam politik.
“Kita tak mahu calon lompat, ada lain esok lompat, tak guna. Loyalty (kesetiaan) mesti ada,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial partinya hari ini.
Sidang media itu selepas pihaknya mengadakan mesyuarat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, senarai calon masih belum diputuskan kerana masih dalam perincian dan akan diumumkan pada minggu depan.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan perbincangan turut melibatkan wakil Parti Amanah Negara yang tidak bertanding pada PRU-14 lalu di Sabah.
“Yang penting kita bersatu menumbangkan parti lawan, BN dan UMNO,” ujarnya.
Mengenai undang-undang lompat parti, Mohd Shafie berkata, sebelum itu ia menjadi agenda pihaknya namun akan meneruskan sekiranya memenangi PRN tidak lama lagi.
Sebelum itu, semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau sudah mengarahkan Peguam Negeri melihat perkara itu termasuk merujuk kepada peraturan di Pulau Pinang.
Beliau juga sekali lagi menyatakan sebagai ketua menteri tidak ada kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri kerana ia kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah.- MalaysiaGazette
……piee…ko dulu parti mana erk?????