Sebanyak 18 kluster baharu akibat penularan Covid-19 dikesan hari ini dan daripada jumlah itu separuhnya  kluster komuniti.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada dalam pengangkutan awam dan tempat awam yang sesak sahaja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jika berada dalam kenderaan persendirian dan tempat awam di kawasan lapang seperti padang bola dan tepi pantai, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan tetapi digalakkan selain mematuhi penjarakan sosial.

“Kita mewajibkan pemakaian pelitup muka ini mulai 1 Ogos lalu, pertamanya, dalam pengangkutan awam seperti bas ekspres, LRT, kereta api, bas henti-henti (antara bandar), teksi dan e-hailing.

“Kedua, tempat awam yang sesak seperti pasar awam, pasar tani, pasar malam, pasar raya, tempat tumpuan pelancong dan panggung wayang.

“Kenderaan persendirian atau tempat awam tidak sesak seperti padang bola atau tepi pantai, tidak wajib, tetapi mereka digalakkan memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Bangunan Parlimen hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri berkata, jika ada orang ramai dikenakan saman kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam kenderaan persendirian, boleh membuat tuntutan semula dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ada yang disaman kerana berada dalam kenderaan persendirian. Saya sudah berbincang dengan polis dan KKM, polis akan batalkan saman itu, manakala yang sudah bayar saman, boleh tuntut semula dengan KKM,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, beliau menerima aduan mengatakan individu yang berada dalam kenderaan persendirian dikenakan tindakan saman.

Katanya, itu tidak betul kerana kenderaan persendirian bukan kenderaan awam, malah bersama dengan keluarga atau kawan dalam kenderaan itu tidak perlu memakai pelitup muka.

“Tempat awam biasa juga tidak perlu memakai pelitup muka. Bagaimanapun, kita menggalakkan orang ramai memakainya kerana boleh menghalang 100 peratus kebarangkalian jangkitan.

“Kalau ditempat sesak wajiblah pakai. Lainlah kanak-kanak umur bawah dua tahun, tidak perlu pakai.

“Kalau pakai juga, bimbang lemas dan membahayakan nyawa kanak-kanak itu. Tetapi, kalau nak jaga keselamatannya, tidak perlu bawa ke kawasan awam, takut jangkitan,” katanya.

Beliau turut menafikan rakaman video yang viral mengenai anggota polis menahan penunggang motosikal di lebuh raya semalam.

Katanya, kejadian itu tidak ada kena mengena dengan tidak memakai pelitup muka, sebaliknya penunggang motosikal tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan di lebuh raya.

“Kes itu sebab mereka tidak masuk lorong motosikal, bukan kes tak pakai topeng (pelitup muka),” katanya.

Mengenai Aplikasi MySejahtera, Ismail Sabri berkata, bagi memudahkan pengesanan kontak, kerajaan menerusi KKM telah memutuskan untuk mewajibkan penggunaannya di semua premis.

Kata beliau, Pejabat Peguam Negara akan mewartakan untuk mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera dalam masa terdekat ini, kecuali premis di luar bandar yang tidak mempunyai liputan internet yang stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast