Pegawai Polis dan Pasukan Gerakan Marin di tempat lokasi yang dipercayai suspek membuang bahan bukti di Tasik Taman Putra Perdana, Puchong. foto MOHD ADZLAN, 4 OGOS 2020.

SEPANG – Polis sedang mendapatkan bahan bukti dalam kes pembunuhan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dijerut oleh suaminya menggunakan tudung di Tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya pada 29 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, bahan-bahan bukti itu akan membantu polis dalam siasatan kes pembunuhan ini.

“Kami sedang meneliti mana-mana yang ada kaitan dengan kes tersebut, apa-apa bahan bukti yang ditinggalkan yang boleh disabitkan suspek tersebut dengan perbuatan jenayah kes pembunuhan itu kita akan dapatkan untuk siasatan lanjut.

“Bahan-bahan bukti itu akan bantu kita dalam siasatan kes pembunuhan ini yang mana suspek sudah ditangkap polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dekat sini.

Noor Azam Jamaluddin

Beliau hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adam Shah dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor Asisten Komisioner Imran Abd Rahman pagi tadi yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Arjunaidi Mohamed dan Semua Ketua-Ketua Polis Daerah di negeri tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sepasukan polis yang terlibat dalam pencarian telefon bimbit mangsa di tasik lombong berhampiran Masjid Putra Perdana sejak 11 pagi tadi.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengesahkan kehadiran pasukan polis itu ke lokasi lombong tersebut.

Katanya, polis sudah mengenal pasti motif utama kejadian pembunuhan pensyarah wanita itu namun tidak mahu mengulas lanjut .

“Motif utama kejadian bunuh itu sudah dikenalpasti polis namun kami masih meneruskan siasatan lanjut.

“Saya tak boleh ‘share’ di sini kepada media kena siasat dulu, manakala kes ini dianggap selesai dengan penahanan suspek,” tegasnya.-MalaysiaGazette