KUALA LUMPUR – Isu dan nasib kira-kira 30 orang pekerja Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang ditamatkan kontrak 24 jam tanpa sebarang notis awal telah dirujuk kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Penjawat Awam (CUEPACS) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Selangor itu petang tadi berkaitan perkara yang sama.
Presidennya Adnan Mat berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan oleh semasa pertemuan bersama Amirudin adalah isu pemecatan lebih 30 kakitangan kontrak oleh MPSJ.
“CUEPACS difahamkan pemecatan yang dibuat oleh MPSJ terhadap kakitangan kontrak tersebut dilakukan dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang notis awal.
“Ada juga dalam kalangan pekerja kontrak ini ditamatkan kontrak mereka tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Tindakan pemecatan ini adalah amat tidak wajar seolah-olah tiada langsung sumbangan yang diberikan selama ini Apatah lagi negara ketika ini dalam proses pemulihan dan terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah Adnan berkata, terdapat juga ketua-ketua jabatan di MPSJ bertindak tidak profesional dan menekan pekerja bawahan mereka terutama staf kontrak.
Tambah beliau, tindakan tidak beretika ketua-ketua jabatan pihak berkuasa tempatan itu telah menimbulkan situasi yang tidak harmoni di tempat kerja.
Sehubungan itu kata Adnan, CUEPACS berharap Amirudin dapat memberi perhatian dan keutamaan serius mengenai perkara itu agar nasib rakyat dan penjawat awam di Selangor dapat dibela.
“Perhatian dan pertimbangan adil daripada Menteri Besar amatlah penting bagi memastikan perkara seperti ini berulang semula disamping menggesa MPSJ selaku bekas majikan mengambil semula kesemua pekerja-pekerka kontrak yang telah diberhentikan dalam tempoh PKP dan pasca Covid-19 sebelum ini.
“MPSJ juga perlu memastikan setiap ketua jabatan mereka tidak bertindak mengikut emosi dan tidak profesional terhadap kakitangan bawahan mereka,” ujar beliau.
Dalam pertemuan sama, katanya, CUEPACS mengemukakan permintaan agar kerajaan Selangor menyerap pegawai lantikan kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dilantik secara tetap.
Tegas beliau, permintaan itu adalah selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2016 sebagai menghargai sumbangan dan khidmat bakti pegawai lantikan kontrak kepada negara.
Bagaimanapun CUEPACS mendapati ada pihak berkuasa tempatan, majlis bandaraya serta majlis perbandaran tidak membuat pelantikan tetap.
“Malah ada aduan diterima dari pegawai kontrak ini ditamatkan perkhidmatan mereka walaupun telah bertugas dalam tempoh yang lama.
“CUEPACS berharap kerajaan Selangor khususnya Menteri Besar campur tangan dan mempertimbangkan permintaan ini secara serius dan mendalam bagi memastikan kebajikan penjawat awam di Selangor terbela,” tegas beliau.-MalaysiaGazette