KUALA LUMPUR – Selain pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pelajar luar negara dari keluarga B40 juga boleh memohon pengecualian pembayaran kos kuarantin.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pelajar terbabit perlu memaklumkan kepada sekretariat yang bertugas untuk semakan menerusi pengkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, mereka boleh memohon pengecualian bayaran itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Setelah pengesahan dibuat, pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan dan perlu dikemukakan kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.
“Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang di bawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana ditanggung oleh pihak penaja,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.
Menurut Ismail Sabri, caj kos kuarantin di semua Stesen Kuarantin sama ada hotel ataupun Institut Latihan Awam (ILA) adalah sama.
Katanya, bagi individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani perjanjian pembayaran (LoU) akan dihantar ke ILA terlebih dahulu memandangkan institut itu milik kerajaan dan penempatan individu berkenaan boleh dilakukan tanpa pembayaran deposit terlebih dahulu.
“Ini bagi mengelak keterdedahan mereka kepada orang awam dan di ILA pula, mereka perlu menyelesaikan pembayaran caj kuarantin sebanyak RM150 sehari dalam masa 14 hari.
“Jika gagal, mereka akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 serta tindakan mahkamah,” katanya.
Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri menyatakan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 5,281 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Ujar beliau, semua mereka telah ditempatkan di 21 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.
Menurutnya, mereka pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.
“Semalam, polis telah melakukan 2,078 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.
“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.
Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19, beliau menjelaskan, sejak 30 Mac lalu, operasi di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu telah melakukan 9,481 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.
Katanya, sebanyak 12,782 premis telah disanitasi melibatkan 2,691 pusat perniagaan, 5,605 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,541 tempat awam dan 354 pasar raya. – MalaysiaGazette