MADRID – Bekas kapten Sepanyol dan Real Madrid, Iker Casillas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak pada usia 39 tahun.
Dalam satu kenyataan di Twitter, pemenang Piala Dunia 2010 dan Euro 2008 serta 2012 itu berkata, apa yang paling penting adalah jalan dilalui seseorang dan mereka yang menemani, bukannya destinasi yang membawa kita ke sana.
“Dengan kerja dan usaha keras, saya boleh katakan tanpa teragak-agak bahawa ia adalah haluan dan destinasi yang menjadi impian,” tulisnya penuh emosi.
Penjaga gol legenda itu tidak beraksi dalam sebarang perlawanan selepas terkena serangan jantung ketika berlatih bersama kelab Portugal, Porto tahun lalu.
Juara La Liga, Real Madrid turut memberi penghormatan kepada legenda mereka yang beraksi dalam 725 perlawanan sejak 1995 hingga 2005.
Sepanjang tempoh berkenaan, Casillas membantu Los Blancos memenangi lima gelaran La Liga, tiga Liga Juara-Juara, dua Copa del Rey dan tiga Piala Dunia Kelab.
“Real Madrid mahu memberikan penghargaan dan kasih sayang kepada salah seorang legenda bola sepak kita dan dunia.
“Penjaga gol terbaik dalam sejarah Real Madrid dan bola sepak Sepanyol datang ke sini sejak dia berusia sembilan tahun.
“Iker Casillas sentiasa berada di hati Real Madrid dan akan terus diingati,” tulis kelab tersebut dalam media sosial.
Bekas rakan sepasukannya, Sergio Ramos turut melahirkan penghargaan menerusi Twitter dan menulis bola sepak berterima kasih kepada anda, kawan kerana anda legenda selamanya. – MalaysiaGazette