Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menarik semula program Program Dwibahasa di sekolah kerana ia menyebabkan wujud perbezaan darjat yang ketara khususnya bagi penduduk di bandar dan luar bandar.

Ia akhirnya mewujudkan dua aliran iaitu aliran Melayu dan Inggeris, kata Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Program yang sama juga didakwa akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Pelaksanaan program itu juga hanya menambah kerumitan apabila ia menyusahkan bahagian pertukaran guru, apabila guru yang boleh mengajar dalam bahasa Inggeris terpaksa ditukar ke sekolah yang melaksanakan DLP.

”ABIM menegaskan bahawa para pejuang bahasa kebangsaan tidak anti kepada bahasa Inggeris. Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati demi kemajuan anak bangsa. Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris.

”Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faisal mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan DLP dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Muhammad Faisal melihat senario yang berlaku satu manifestasi kepada kepincangan yang berlaku dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan para pencinta bahasa, ibu bapa dan para guru terhadap pendidikan bahasa ibunda.

Jelas beliau, ilmu lebih mudah disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami iaitu bahasa kebangsaan.

Ini dibuktikan apabila negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran Sains dan Matematik seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland dan Jepun, prestasi pelajarnya mencatat peningkatan konsisten dan cemerlang.

Tegas Muhammad Faisal, kegusaran ABIM adalah berasas demi kepentingan anak bangsa Malaysia yang dicintai, dan diambil kerana sayangkan bahasa kebangsaan, selain mahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

ABIM juga menegaskan pelaksanaan DLP juga melanggar wasiat Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 yang memperjelaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,

Ujarnya, ABIM membantah hasrat kerajaan meneruskan DLP dengan menyifatkannya langkah ke belakang yang akan menjadi halangan untuk melahirkan rakyat berilmu dan mahir berbahasa Inggeris.

Langkah yang diperkenal kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan bahasa Inggeris menerusi PPSMI mahupun DLP adalah seumpama memberikan ubat yang salah kepada penyakit yang dihidapi.

”Pelaksanaan DLP bukan sahaja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, malah membawa kesan yang lebih teruk di mana pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep Sains dan Matematik yang diajarkan,” tambahnya lagi.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan yang merugikan masa depan anak serta negara. Polisi berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal, bukannya persepsi.

Ini kerana pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette