Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Negara sekali lagi menyaksikan enam kes daripada 15 kes baharu positif Covid-19 di dalam negara pada hari ini datang daripada Kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di dalam negara adalah sebanyak 9,038 kes.

Beliau turut memaklumkan terdapat 11 kes yang telah pulih  hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari adalah sebanyak 8,713 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 hari ini adalah 200 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Pecahan lima kes import tersebut adalah melibatkan empat kes di Sabah yang pulang dari Filipina; dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang pulang dari Afrika Selatan,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Tambah Noor Hisham, daripada 10 kes penularan di dalam negara pula, lapan kes dilaporkan dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Daripada lapan kes dalam negara membabitkan warganegara Malaysia, enam adalah Kluster PUI Sivagangga di Kubang Pasu, Kulim dan Padang Terap manakala kes ketujuh di Negeri Sembilan membabitkan satu kes saringan di tempat kerja dan satu lagi kes (kes-8) di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Labuan.

“Bagi kes jangkitan dalam negara membabitkan dua kes bukan warganegara masing-masing dilaporkan di negeri Sembilan iaitu saringan tahanan PATI dan WPKL saringan komuniti bersasar.

“Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana hanya satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Justeru tiada kematian baharu dilaporkan sekaligus jumlah angka kematian kekal 125 kes(1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Menyentuh mengenai enam kes baharu kluster Sivagangga, sehingga 12 tengahari tadi, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster ini dan 30 kes daripadanya dikesan positif sementara 1,617 lagi negatif dan 704 kes pula masih menunggu keputusan yang mana persampelan telah diambil semalam.

Katanya, enam kes baharu itu telah dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga pada hari ini melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan satu daripada enam kes baharu itu (iaitu kes ke-9032) mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarga beliau yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu sebelum dikesan positif 5 Ogos lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah manakala Ahli keluarga tersebut telah disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan.

“Manakala lima kes baharu selebihnya (Kluster Sivagangga) pula terdiri daripada satu keluarga (iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037) yang mana mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan dan punca jangkitan dalam keluarga tersebut masih disiasat rapi dan kesemua kes (Sivagangga) ini merupakan kes-kes generasi kedua dalam Kluster PUI Sivagangga,” tegas Noor Hisham.

Dalam perkembangan berkaitan saringan kontak rapat kes-kes positif ini dan pengesanan kes aktif diteruskan.

Beliau juga memaklumkan daripada siasatan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (iaitu kes yang telah dilaporkan pada 5 Ogos 2020) mendapati seramai 15 kontak rapat beliau telah dikenalpasti dan disaring dan puncanya masih disiasat.

Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai dan masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut.-MalaysiaGazette