KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas kenyataan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin kononnya beliau tidak pernah menerima 33 Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Dr Jeffery Kitingan yang mengesahkan SD itu telah dihantar ke Istana Negeri Sabah melalui peguam Tan Sri Musa Aman pada 30 Julai lalu.
“Kenyataan terkini daripada Juhar ini adalah jelas satu cubaan untuk memutar belit fakta dan dilihat cukup jijik.
“Oleh sebab itu satu laporan polis akan dibuat ke atas Juhar agar tindakan undang-undang dapat diambil ke atas Juhar.
“Persoalan penting yang kami ajukan sebelum ini adalah, atas alasan apa Juhar menandatangani surat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum bertemu dengan kesemua 65 wakil rakyat di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Istana Negeri Sabah hari ini menyangkal dakwaan NGO G57 semalam mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah itu menyalah guna kuasa dan rasuah serta menerima imbuhan untuk membubarkan DUN Sabah.
Setiausaha Sulit Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Abinan Asli menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan itu dan kenyataan tersebut tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat.
Abinan menjelaskan Yang Dipertua Negeri Sabah tidak pernah menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa Zulkarnain, sebelum menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.
Katanya, Istana Negeri juga tidak pernah menerima permintaan secara rasmi atau tidak rasmi daripada bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar.
Abinan berkata Istana Negeri juga tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menyekat Musa dan rombongan memasuki kawasan istana pada 30 Julai lalu sebaliknya sekatan itu telah dibuat polis bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
Sementara itu, Zulkarnain mempersoalkan tindakan Juhar yang tergesa-gesa menandatangani pembubaran DUN Sabah tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat negeri itu.
“Di Melaka, Kedah,Johor dan Perak, Tuan Yang Terutama termasuk Sultan telah memanggil terlebih dahulu kesemua wakil rakyat.
“Ia untuk menghadap dan mendengar sendiri pengesahan daripada mulut wakil rakyat mengenai calon pilihan Ketua Menteri dan Menteri Besar pilihan mereka.
“Bukannya terus membubarkan dewan, ini berlaku selepas wabak Covid-19 telah mengganas di seluruh Malaysia,” katanya.
Zulkarnain turut mempersoalkan tindakan tergesa-gesa Juhar membubarkan DUN Sabah tanpa bertemu dengan kesemua 65 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Musa.
“Juhar dilihat cuba mengelak kononnya beliau tidak memihak kepada Datuk Mohd Shafie Apdal sebaliknya peristiwa Mei 2020 telah membuktikan Juhar telah terlibat memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti.
“Wajarkah seorang Tuan Yang Di Pertua melakukan perbuatan ini.
“Adakah ini bukan penyalahgunaan kuasa apabila Tan Sri Musa dipecat oleh Juhar kerana hilang kuasa majoriti pada Mei tahun lalu, namun, tindakannya berbeza pula terhadap Ketua Menteri terkini, Datuk Seri Shafie Apdal,” katanya.
Zulkarnain turut mempertahankan langkahnya semalam yang membuat laporan salah guna kuasa dan salah laku rasuah Juhar di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Musa ketika itu terus diturunkan daripada jawatan apabila hilang majoriti.
“Namun, apabila perkara sama berlaku ke atas Mohd. Shafie sekarang, Juhar pula terus menerima cadangan Mohd Shafie untuk membubarkan DUN. Adakah tindakan Juhar ini adalah adil.
“Justeru rakyat akan dapat menilai adakah tindakan kami melaporkan Juhar kepada SPRM adalah satu tindakan yang tepat atau sebaliknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Mungkin ada satu lagi peristiwa besar sejarah politik malaydia. TYT di dakwa kerana rasuah.. Mungkin.
KES MULA KES RUJUK KES ASAS KES AKADEMIK menjadikan Malaysia untuk rujukan Undang-undang dan Perlaksanaan Mendaulatkan Perlembagaan. XPM sedang berjalan, TYT dalam usaha Dan Negarawan mungkin sedang diperhatikan harap rakyat Malaysia berdoa menggunakan cara kepercayaan masing-masing untuk memanjangkan “hidup” orang itu dalam pendakwaan.