Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 kes perbicaraan penyewelengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyambung memberi keterangan pada hari ke-35.

Saksinya, bekas Ketua Eksekutif 1MDB (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mula memberi keterangan di kandang saksi sejak 23 September tahun lalu.

Hari ini, Shahrol mendedahkan bagaimana beliau ditukarkan ke Unit Pengurusan Prestasi Dan Penyampaian (Pemandu) manakala penggantinya pula dipilih oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut Shahrol, Jho Low membawa masuk Mohd Hazem Abdul Rahman sebagai Pengarah Eksekutif seperti dicadangkan Najib.

Dakwa Shahrol, Jhow Low pernah memberikan resume Mohd Hazem dengan mendakwa ia adalah cadangan Najib untuk turut menerajui sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

“Apabila Mohd Hazem masuk sebagai COO, saya meletakkanya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk hartanah sementara saya memberi tumpuan kepada perniagaan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Mohd Hazem dipercayai pernah menjadi penganalisis dengan Deutch Bank diikuti beberapa tahun sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion.

Pada Mac 2013, Mohd Hazem menggantikan Shahrol sebagai CEO sehingga Januari 2015 sebelum digantikan pula dengan Arul Kandasamy sebagai Presiden Kumpulan 1MDB dan Pengarah Eksekutif.

Shahrol yang pada awalnya mendakwa Najib secara peribadi terlibat dengan Mohd Hazem menerajui 1MDB namun ketika Wan Aizuddin mencadangkan sebenarnya itu adalah rancangan Jho Low untuk menggelapkan dana 1MDB, saksi enggan memberi komen.

Soal Wan Aizuddin, adakah pelantikan Mohd Hazem sebenarnya peracangan awal Jho Low untuk meneruskan penyewelangan dana 1MDB.

“Saya tidak boleh komen tentang perkara tersebut,” jawab Shahrol ringkas.

Shahrol yang kelihatan tidak begitu senang dengan cadangan itu kemudian terus diasak oleh Wan Aizuddin.

“Hazem dilantik untuk menggantikan anda sebagai CEO sebagai kaedah seperti sampaikan baton dari seorang kepada orang lain dan mendengar apa arahan Jho Low?,” soalnya.

Wan Aizuddin juga cuba membuktikan bahawa Mohd Hazem tidak pernah memberi penerangan kepada barisan Lembaga Pengarah mengenai transaksi, perjanjian pembiayaan atau perjanjian pinjaman yang melibatkan Abu Dhabi Malaysian Investment Company Limited (Admic).

Admic merupakan syarikat usahasama antara 1MDB dan syarikat palsu, Aabar Investment PJS Ltd (BVI) yang ditubuhkan pada 2013.

Perbicaraan hari ini ditamatkan awal kerana Shahrol memaklumkan beliau tidak sihat untuk memberi keterangan.

Hakim Collin kemudian bertanyakan kepada pasukan pembelaan berapa lama mereka akan terus menyoal balas Shahrol dan  menetapkan 17 Ogos hingga 19 Ogos dan 1 hingga 3 September depan untuk berbuat demikian.

“Saya harap anda (pembelaan) akan dapat habiskan pemeriksaan balas dengan saksi ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. CEO paling bodoh di Malaysia…tak tau apa pun..semua dia ikut arahan Jho Lo..tapi gaji sebulan lebih 90K…bahalol punya manusia..

Comments are closed.