Datuk Alexander Nanta Linggi. foto SYAFIQ AMBAK, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pelbagai barangan bersubsidi yang cuba diseludup bernilai RM82 juta berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak empat tahun lalu.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, rampasan itu membabitkan 2,297 kes yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, antara barangan itu termasuk diesel, petrol, gas gula dan tepung gandum.

“Pihak penguatkuasa KPDNHEP akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander berkata, antara langkah yang diambil bagi mengekang aktiviti itu adalah melakukan risikan di lokasi tertentu di sempadan negara.

“Kita turut mengadakan kerjasama strategik dengan agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selain itu, semakan terhadap syarikat pemegang lesen barangan kawalan turut dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk menawarkan pakej rangsangan francais dengan kos modal pelaburan yang bersesuaian.

Ujarnya, ia merangkumi fi francais, kos ubah suai dan peralatan, stok permulaan serta latihan.

“Kami berharap cadangan itu dapat menarik ramai belia untuk menceburi bidang perniagaan francais pada masa depan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette