Vincent Tan
Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR – Tokoh perniagaan negara Tan Sri Vincent Tan, tidak bercadang untuk membeli mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dalam masa terdekat, menjelang tarikh akhir penswastaan kelab tempatan, September ini.

Vincent yang merupakan pemilik kelab profesional Belgium, KV Kortrijk dan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City, berkata, sektor bola sepak kini sukar mendatangkan keuntungan, terutama dalam situasi dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata hubungan baik dengan pemegang taruh bola sepak tempatan juga, membataskan hasrat memiliki sebuah pasukan tempatan kerana enggan bersaing bersama ‘rakan-rakan’.

“Bola sepak (kini) susah untuk perniagaan, bukannya senang…semua rugi saja dan saya fikir susah nak beli pasukan di sini, semua kawan, macam mana nak ‘lawan’ dengan kawan?.

“Perkara ini kena fikir baik-baik, kemungkinan itu sentiasa ada, tetapi untuk masa sekarang saya rasa tidak,” katanya pada sidang media majlis menandatangani kontrak antara pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin dan KV Kortrijk di sini, hari ini.

Penswastaan kelab merupakan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA), kepada kelab bola sepak (FC).

Ia dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan, selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan, sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Luqman Hakim, 18, akhirnya sah menjadi pemain KV Kortrijk selepas menandatangani kontrak profesional selama lima tahun.- BERNAMA