Masih ramai individu gagal mematuhi SOP PKP ditahan dan dikenakan kompaun serta direman.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah menahan 140 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, 32 individu telah direman manakala 108 dikenakan kompoun.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Selain itu, pemeriksaan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 1,355 premis perniagaan mendapati 18 premis diberi nasihat kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala dua diberi amaran.

Mengenai Op Benteng pula, PDRM telah membuat 63 sekatan jalan raya dengan memeriksa 20,178 kenderaan di seluruh negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menangkap 2 warganegara asing kerana kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata,  sejak 24 Julai sehingga 6 Ogos 2020, seramai 7,175 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 30 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di KL, Selangor, N.Sembilan, Pulau Pinang, Johor,  Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

Daripada jumlah tersebut, 20 telah disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke hospital untuk pengasingan dan rawatan lanjut.- MalaysiaGazette