Hishammuddin Hussein

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri menyatakan keyakinan ASEAN mampu keluar daripada krisis Covid-19 yang melanda rantau ini termasuk di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn berkata, ini kerana ASEAN sebelum ini telah melalui pelbagai ujian dan ia bukan lagi perkara biasa ketika ini.

Namun tegas beliau, kesatuan itu telah berjaya keluar daripada krisis itu malah ada yang lebih kuat untuk bersama bersatu menanganinya.

“Saya percaya wabak Covid-19 bukan sahaja mengizinkan kita keluar daripada pandemik itu namun memberi ruang yang tidak wujud sebelum Covid-19.

“Ditekankan dunia telah pun berubah dan norma baharu beri peluang tersendiri kepada Malaysia dan sembilan negara lain kerana kelebihan yang ada pada kita boleh beri manfaat kepada ASEAN.

“Jadi kita berkumpul pada hari bersejarah ini dan sekiranya kita khuatir dan rapatkan barisan, kita terus tangani Covid-19 ini dengan apa yang telah kita lakukan beberapa bulan lalu,” katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Hari ASEAN ke-53 di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, menuju ke depan, kini saatnya bagi ASEAN untuk beralih daripada kerisauan awal bagi meningkatkan sistem penjagaan kesihatan dengan menggunakan topeng muka, ventilator dan pakaian pelindung diri (PPE).

Tegas beliau, rantaian pandemik itu perlu mengutamakan vaksin, diplomasi dan menyedari masyarakat tidak akan kembali ke keadaan normal tanpa vaksin yang diperlukan untuk mencegah wabak Covid-19.

“Malaysia sentiasa menyatakan adalah mustahak agar vaksin memberi kebaikan kepada global secara adil, mudah diakses dan harga berpatutan untuk semua.

“Yang membimbangkan adalah bahawa negara-negara di Barat telah melakukan pembelian vaksin terlebih dahulu yang mendorong negara-negara di rantau kita ke arah persaingan.

“Ketika dunia berlumba-lumba untuk mencari vaksin Covid-19, kita sebagai kumpulan lebih dari 650 juta orang mesti mencari jalan untuk tetap teguh dalam komitmen kita untuk memastikan ASEAN diutamakan dalam pengembangan dan pengedaran vaksin di masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette