KAJANG – Lebih 200 peniaga bazar malam Seksyen 9 Bangi yang premis dirobohkan merayu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya mereka dibenarkan berniaga sehingga status kedudukan tanah itu diputuskan.
Presiden Pertubuhan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, para peniaga itu tidak sepatutnya dijadikan mangsa keadaan dalam pertikaian tanah antara penganjur bazar malam, MPKj dan pemilik tanah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Katanya, beliau telah mengemukakan memorandum yang merangkumi tuntutan dan langkah penyelesaian bagi menyelesaikan kemelut tersebut yang memerlukan budibicara dan kebijaksanaan Yang DiPertua baharu MPKj.
“Kita hanya meminta membenarkan mereka berniaga sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun buat sementara waktu sehingga satu kata putus yang muktamad dan tetap dicapai secara menang-menang untuk kedua-dua pihak peniaga dan MPKj.
“Saya dah kemukakan memorandum itu kepada Pegawai Perhubungan Awamnya, Kamarul Izlan Sulaiman dan diterangkan krisis masalah yang dihadapi peniaga sejak habis diroboh 3 Ogos lalu.
“Kami peniaga tidak mahu mengambil tahu masalah penganjur mengenai rebutan tanah dengan PKNS dan MPKj. Peniaga hanya merayu budi bicara YDP supaya dibenarkan berniaga untuk tempoh setahun dua lagi.
“Bagi saya sehingga satu kata putus dicapai mengenai status tanah itu, semua peniaga yang dianiaya dan terjejas akibat tindakan MPKj harus dibenarkan berniaga di tanah lot kosong yang tidak mempunyai sebarang perancangan pembangunan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita seleps meyerahkan memorandum bersama lebih 20 peniaga itu.
Pada 3 Ogos lalu MPKJ merobohkan gerai peniaga terbabit selepas notis merah pengosongan bertempoh seminggu diberikan.
Tambah beliau, pihaknya akan menunggu maklumbalas dan tarikh temu janji dan dialog dengan YDP MPKj untuk mencari jalan penyelesaian.
Justeru katanya, beliau tidak ada masalah sekiranya MPKj menjadi penganjur tanah itu asalkan masalah peniaga terbela.
Menurut Mohd Ridzuan, sekiranya masalah tersebut masih gagal ditangani, beliau akan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal supaya bertanggungjawab dalam permasalahan itu.
Katanya, setiap peniaga antaranya Salmah Othman, 55, yang lebih dikenali dengan panggilan Bonda terpaksa mengeluarkan modal sehingga RM21,000 untuk menambahbaik perniagaan akibat penamatan lesen sementara.
“Kalau masalah ini berlarutan, saya akan meminta wakil rakyat yang sepatutnya bertanggungjawab tampil serta merta selesaikan, bukannya terus lari hilangkan diri selepas menang dan tak ambil peduli masalah peniaga kawasan dia yang sedang dihadapi.
“Kalau dia (ADUN Sungai Ramal) tidak mahu berjumpa peniaga, kami beramai-ramai akan berkumpul di depan pejabat Pusat Khidmat wakil rakyat itu nanti.
“Adalah menjadi tanggungjawab seorang wakil rakyat mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, kerana rakyat pilih dia bukannya pilih NGO atau saya, hari ini saya pula memikul tugas yang patut dibuat wakil rakyat itu.
“Saya seru wakil rakyat baik datang elok-elok jadi orang tengah campur tangan antara MPKj dan PKNS selesaikan masalah ini, jangan duduk diam di rumah dan jadi bisu dalam masalah peniaga ini,” katanya. – MalaysiaGazette