Keadaan sosial di Malaysia adalah stabil dan menggambarkan budaya toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

PADA tahun ini tema Malaysia Prihatin yang dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan memberi makna yang mendalam kepada rakyat Malaysia dan negara kerana kita masih berdepan pandemik Covid-19. Ringkas temanya, hanya gabungan dua patah perkataan tetapi ia sudah cukup menggambarkan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia memerangi wabak ini serta kecaknaan kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh sukar ini.

Bersempena kita telah berada dalam Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 bertemakan Malaysia Prihatin, ambillah peluang untuk kita juga prihatin pada sejarah negara ini, kembali menghayati jerih perit dan onak duri pembentukan pertiwi ini agar rasa cinta padanya terus mekar dan harum mewangi.

Selain akan menyambut Hari Kebangsaan pada hujung bulan ini, turut meraikan usia Jubli Emas 50 Tahun Rukun Negara yang telah diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Antara tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah bagi memupuk dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.

Semenjak kita mencapai kemerdekaan lebih enam dekad ini, pelbagai peristiwa hitam telah berlaku dalam proses kita membina sebuah negara bangsa. Dek kerana itu jika dilihat sejarah sebelum dan pasca kemerdekaan, pemimpin terdahulu amat berhati-hati apabila mengambil tindakan yang menyentuh kontrak sosial, agama, pendidikan dan kebudayaan kerana tidak mahu keharmonian antara kaum diperjudikan. Tindakan yang cermat ibarat “Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak” inilah rahsia kemakmuran Malaysia sehingga kini.

Salah-satu yang perlu kita hayati dalam proses pembinaan negara ini adalah mengenai prinsip keadilan. Apa yang kita fahami dengan konsep bahagi dalam Matematik selama ini ialah sama rata, tidak lebih dan tidak terkurang. Tetapi dalam realiti kehidupan, pendekatan bahagi yakni kesamarataan tidak boleh terpakai pada semua keadaan kerana kita perlu bersandar pada satu lagi prinsip yang lebih utama iaitu keadilan. Adalah kurang tepat jika berpegang utuh pada kepercayaan bahawasanya dengan mengambil pendekatan kesamarataan ia akan membawa kepada keadilan.

Perlu difahami bahawa kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa kepada keadilan (equity) kerana kedua-dua mempunyai pemberat yang berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali dengan kemajmukan kaumnya, mengambil pendekatan kesamarataan dalam menggubal sebarang dasar khususnya berkaitan rakyat perlu dibuat secara berhati-hati oleh kerajaan. Teringat penulis pada satu dialog yang yang dilafazkan oleh Laksamana Hang Tuah yang dilakonkan oleh Datuk M Nasir dalam filem epik Puteri Gunung Ledang. Pesan Hang Tuah “Kalau nak menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar!”.

Sememangnya diakui jelas tertulis dalam Perlembagaan Malaysia Fasal (8) Perkara 1 bahawa semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi penafsirannya tidak harus dibuat secara selapis sahaja kenana telah terbukti ada pihak yang kurang bertanggungjawab menggunakan hujah ini untuk menghapuskan hak-hak kaum lain pula.

Ketaksuban memperkenalkan konsep kesamarataan pastinya akan membunuh konsep keadilan yang lebih insani dan tidak menzalimi. Tragedi rusuhan 13 Mei adalah antara peristiwa sejarah hitam yang besar pasca pembentukan Malaysia sewajarnya mengajar kita akan bahaya untuk melaksanakan konsep kesamarataan sebagai asas utama kepada sebarang pelaksanaan dasar yang melibatkan kaum di negara ini.

Mengambil contoh reaksi orang Melayu dan Bumiputera apabila pada ada perancangan untuk Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Dijustifikasikan mengapa negara kita perlu menuju ke arah tersebut adalah untuk menjadikan rekod hak asasi manusia negara akan lebih dihormati dunia. Kegusaran banyak pihak ketika itu apalah guna mendapat sanjungan luar jika ia menghancurkan asas-asas pembinaan negara ini dengan nikmat keharmonian, toleransi dan perpaduan rakyat diperjudikan.

Setelah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang tegas menyatakan bahawa ICERD bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah secara terang lagi bersuluh akan menyentuh dan menggangu-gugat kedudukan orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam, akhirnya Malaysia menarik diri dari meratifikasi konvensyen ini.

Penulis berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan kepada realiti sebenar dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukannya bersandarkan kepada andaian yang tidak berpijak di bumi yang nyata, diselebungi dengan sentimen berlebihan dan lebih malang lagi demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Berdasarkan situasi semasa Covid-19, Kerajaan sudah memutuskan acara sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini akan diadakan dengan tiada lagi acara perbarisan dilakukan seperti kelazimannya tetapi masih disambut dengan Sambutan Hari Kebangsaan akan  diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala Sambutan Hari Malaysia diraikan di Sibu, Sarawak pada 16 Sept. Walaupun akan diraikan dalam norma baharu, semangat patriotisma jangan sesekali kita pudarkan, ayuh semarakkan Bulan Kebangsaan dengan kibaran Jalur Gemilang!

 

Oleh:  Mohd Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.