KUALA LUMPUR – “Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan (parti) yang sudah ada tetapi kami menghadapi
masalah luar biasa.
Itu alasan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menubuhkan parti baharu hari ini.
Mahathir berkata beliau tahu sudah banyak parti-parti Melayu dan Bumiputera di negara ini namun tindakan itu diambil kerana parti yang dibina sebelum ini iaitu Bersatu telah ‘dirampas’ oleh kumpulan yang menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Parti politik yang kami tubuh, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan tujuan menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Tun Razak telah hijack (rampas) oleh Presiden Bersatu.
“Sekarang perjuangan parti yang dihijack sudah dialih dari menentang dan menghapuskan kerajaan kleptokrasi kepada bekerjasama dan menghidup semula Kerajaan kleptokrasi.
“Bahagian yang tidak dapat dihijack masih pegang kepada perjuangan asal. Bahagian ini tidak akan dicalon oleh bahagian PPBM yang dihijack dalam PRU-15,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al Bukhari hari ini.
Justeru itu, Mahathir berkata, untuk meneruskan perjuangan bagi menentang perkara itu, beliau dan lima lagi bekas pemimpin Bersatu bertindak mengisytiharkan mereka sebagai bebas.
“Untuk kami teruskan perjuangan asal kami, terpaksalah kami bebas diri atau menjadi ahli parti yang baru.
“Adalah diharap ahli biasa yang pilih untuk bersama kami akan menjadi ahli dalam parti baru ini. Perjuangan kami berasas semangat, bukan duit,” katanya.
Hadir sama adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama parti yang disertai Najib tidak dipersetujui akar umbi.
Katanya, parti baharunya juga akan memastikan rakyat Malaysia dari kaum-kaum lain akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya.
“Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti-parti Melayu yang lain.
“Mereka telah menjadikan agama dan bangsa modal untuk mendapatkan sokongan sedangkan tindak tanduk dan perbuatan mereka melanggar ajaran agama dan bertentangan dengan nilai bangsa.
“Asas perjuangan kami masih dengan menghapus rasuah dan kleptokrasi. Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette