Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin bercakap kepada media ketika sesi temubual di Pejabat Yayasan Hydrocpehalus Negara (YHN), Centrepoint, Bandar Utama, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 2 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) terus merancang pelbagai program dalam usaha mencungkil bakat baharu dan merancakkan lagi industri sukan itu sepanjang baki tahun ini walaupun negara masih diselubungi pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, bermula bulan depan pihaknya akan menganjurkan Liga Hoki Kuala Lumpur yang lebih tersusun dengan mengikuti prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, cadangan kejohanan itu tekah dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa KLHA kali kedua bagi penggal 2019-2020 itu dengan untuk menganjurkan kejohanan selama empat bulan.

“Kami menyasarkan dapat menarik lebih kurang 40 pasukan yang beraksi dalam tiga liga iaitu liga perdana, divisyen 1 dan divisyen 2.

“Menerusi kejohanan selama empat bulan itu, kita berharap dapat mencungkil bakat dan memastikan kelab di Kuala Lumpur boleh berdaya saing dan sukan hoki kekal meriah.

“Kita tidak mahu sukan ini sepi kerana Covid-19 dan kita nak tunjukkan kepada masyarakat yang kita masih boleh bersukan namun mengikut syarat dan normal baharu apatah lagi memiliki kemudahan bertaraf antarabangsa dan terbaik,” kata ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Megat yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia berkata, dua venue menjadi keutamaan mereka bagi penganjuran Liga Hoki Kuala Lumpur iaitu di Stadium Hoki Kuala Lumpur dan Tun Razak selain Bukit Jalil menjadi pilihan alternatif.

Selain Liga Hoki Kuala Lumpur, KLHA turut berstuju untuk menganjurkan Karnival Veteran yang dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini.

Untuk rekod, Liga Hoki Kuala Lumpur mula dianjurkan pada 1983. – MalaysiaGazette