Jeffrus Maimin (duduk, tengah) bersama barisan pimpinan Putra Sabah membuat keputusan tidak bertanding PRN Sabah nanti, sebaliknya akan tumpu menghadapi PRU15.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Sabah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.

Sebaliknya, kata Pengerusi yang juga Ketua Penyelaras Putra Sabah, Jeffrus Maimin Rijan, parti yang baru berusia 13 bulan itu akan memberi tumpuan mengukuhkan organisasi itu di peringkat bahagian, cawangan dan sayap.

Ini kata beliau, seiring dengan keputusan Putra untuk mempersiapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bertanding untuk menang, bukan untuk kalah. Untuk menang mesti cukup syaratnya. Kalau bertanding sekadar menguji pengaruh, tetapi kalah, itu bukan langkah bijak.

“Ia memberi kesan tidak baik dari segi persepsi rakyat, manakala kekalahan adalah kerana persediaan belum mantap sebagai parti yang baru lahir.

“Maka, kesabaran tidak bertanding juga merupakan satu ujian jati diri sebuah perjuangan yang teguh dengan keyakinan bahawa perjuangan politik adalah perjalanan yang lama dan berliku,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Jeffrus Maimin, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Badan Perhubungan Putra Sabah di Kota Kinabalu petang semalam, dengan menyaksikan kehadiran penuh 18 Ketua Bahagian.

Beliau berkata, mesyuarat tiga jam itu berlangsung dengan semangat ukhwah dan memperlihatkan budaya jati diri yang mantap, selari prinsip kepimpinan Putra sebagai sebuah perjuangan parti alternatif baru kepada kaum pribumi di Sabah dan Malaysia amnya.

Katanya, mesyuarat itu mengambil kira PRN Sabah yang diadakan secara mengejut, pergolakan politik semasa di negeri itu dan kelahiran Putra Sabah yang baru berusia 13 bulan, selain keahliah dan kewujudan jentera pilihanraya di Pusat Daerah Mengundi (PDM), calon dan beberapa aspek lain.

“Hasil dari perbincangan itu, kita membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN Sabah, walaupun pada dasarnya kita mempunyai pimpinan bahagian yang sedia bertanding dengan semangat berkobar-kobar.

“Tambahan pula, ini keputusan perjuangan demi strategi masa depan Putra Sabah. Biarlah parti politik Sabah yang berkecamuk dengan pelbagai isu dan bertarung sesama mereka.

“Biar rakyat menilai kredibiliti mereka untuk masa depan rakyat Sabah dan Parti Putra menanti dengan penuh sabar dan istiqamah sebagai parti alternatif baru pribumi Sabah,” ujarnya.

Katanya, Putra Sabah juga membuat keputusan untuk bersikap berkecuali dan tidak menyokong mana-mana parti politik yang bertanding.

Malah, tegas beliau, pimpinan parti itu tidak dibenarkan sama sekali menggunakan jawatan dalam parti untuk berkempen serta menyokong calon bertanding pada PRN nanti.

“Bagaimanapun, hak mereka untuk mengundi adalah hak asasi dan mereka bebas mengundi sesiapa sahaja yang disukainya,” katanya.

Pada masa sama, Jeffrus Maimin mengucapkan penghargaan kepada Presiden parti itu, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, barisan kepimpinan Putra pusat dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) kerana memberi kebebasan autonomi kepada Putra Sabah membuat keputusan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak perlulah bawa doktrin2 malaya rasist ‘ketuanan melayu’ anti Bible bahsa ‘meLayu anti kalimah allah dari seorang rasist pengasasnya yg pernah ‘mengugut membakar Bible ‘ ini ke Sabah yg hidup harmoni tiada ‘ketuanan sesuatu kaum’ tiada ‘istilah kontrak sosial malaya 1957’ yg selama ini ditipu dibohongi tntg sejarah ‘penubuhan Malaysia MA63,IGC REPORT 20 POINT dan penurunan status dari ” rakan setaraf penubuhan malaysia bersama Negara Persekutuan Tanah Melayu’ kpd hnya sama status dgn ‘negeri2 di malaya yg merdeka pada 31 ogos 1957 tersebut..

Comments are closed.