Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka kaedah baharu bagi menggantikan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) subjek bertulis yang dibatalkan akibat penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaedah yang bakal dilaksanakan mestilah bersesuaian dengan situasi negara yang masih lagi belum bebas daripada wabak itu.

“Kami sedang merangka kaedah yang paling sesuai bagi penilaian murid yang terlibat dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Permatang Pauh-PH), Nurul Izzah Anwar yang ingin tahu langkah bagi menggantikan ujian penilaian UPKK setelah dibatalkan bagi memastikan penilaian ujian itu tidak terganggu.

Pada 17 April lalu, Jakim membuat keputusan membatalkan pelaksanaan UPKK untuk subjek bertulis yang sepatutnya dijadualkan berlangsung mulai 28 September hingga 1 Oktober ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai perkembangan Majlis Tahfiz Negara (MTN), Ahmad Marzuk memberitahu, kerajaan sedang giat membangunkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi menggerakkan majlis berkenaan.

Ujarnya, ia termasuk terma dan rujukan standard MTN, standard dan SOP penarafan huffaz, standard penarafan institusi tahfiz peringkat rendah dan tinggi iaitu bagi menjamin tahap keselamatan dan menaik taraf aspek pensijilan tahfiz.

Katanya lagi, pelancaran SOP itu akan diumumkan pada masa terdekat setelah segalanya selesai disemak. – MalaysiaGazette