KUALA LUMPUR – Sebuah kedai yang menjalankan perniagaan percetakan di Jalan Tasik Utama, Sungai Besi, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi ini.
Kebakaran kecil yang berlaku di tingkat dua disedari pekerjanya apabila melihat api dari bahagian belakang premis berkenaan dan terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
Enam jentera bersama 30 anggota termasuk BBP Sungai Besi, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Sungai Besi tiba kira-kira 10 minit ditempat kejadian dan berjaya memadam serta mengawal api dari merebak ke bangunan sebelah.
Turut bergegas ke tempat kejadian, jentera dari BBP Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak, BBP Salak Selatan dan BBP Desa Petaling.
Enam pekerja dalam premis berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Mereka ialah Chong Kok Kong, Chong Mei Ling, Tan Shiaw Wee, Diana a/p Linggan, Kwon Shim Yon dan Cristi Chong.
Jalan Tasik Utama, Sungai Besi merupakan kawasan sibuk dengan aktiviti perniagaan makanan, perkhidmatan, bengkel kenderaan dan pejabat.
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette