Seorang lelaki lena tidur di luar bangunan yang mengalami kerosakan teruk selepas letupan berlaku di sebuah gudang di Pelaburan Beirut. foto NY Times

BEIRUT – Lebih daripada 200 orang dipercayai terbunuh dalam letupan dahsyat yang berlaku di sini, kata gabenornya.

Marwan Abboud memaklumkan puluhan orang masih hilang, kebanyakan adalah pekerja asing.

Sementara itu tentera telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat di pelabuhan tersebut.

Letupan itu telah mencetuskan protes ganas, yang memasuki hari kedua pada hari Ahad, selepas rakyat Lubnan marah dengan reaksi kerajaan selepas tragedi itu.

Perletakan jawatan menteri kabinet dan beberapa anggota Parlimen gagal mengatasi kemarahan itu.

Sejak letupan itu berlaku, beratus-ratus ribu orang telah tinggal di dalam kediaman yang rosak teruk, tanpa tingkap atau pintu.

Manakala 300,000 orang dianggarkan tiada tempat penginapan.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan kecuali makanan dan bantuan perubatan segera dihantar.

Penderma antarabangsa menjanjikan bantuan sebanyak AS$ 297 juta (£ 227 juta) untuk Lubnan pada sidang kemuncak maya pada hari Ahad yang dihoskan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Mereka mengatakan dana itu harus “dihantar terus ke penduduk Lubnan”.

Pihak berkuasa mendakwa letupan itu berpunca simpanan sebanyak 2,750 tan ammonium nitrat secara tidak selamat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu kota negara itu selama enam tahun. – MalaysiaGazette