Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyenaraikan beberapa bentuk pemakaian untuk dikaji oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada boleh dijadikan sebagai pelitup muka atau sebaliknya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cadangan itu ialah perempuan yang berpurdah tidak perlu lagi memakai pelitup muka, termasuk kain selendang dan penutup kepala boleh dijadikan topeng menutup hidung dan mulut.

Katanya, beliau telah kemukakan cadangan itu dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi ini dan KKM telah mengambil maklum untuk membuat kajian.

Selain itu, kata beliau, dalam mesyuarat itu juga pihaknya telah membangkitkan mengenai pelitup muka untuk murid dan pelajar, yang dicadangkan menggunakan kain yang dijahit bagi penggunaan secara berulang.

Ismail Sabri Yaakob

“Saya sudah bangkitkan dalam mesyuarat khas ini. Saya cadangkan kain yang dijahit sebagai pelitup muka itu boleh dibasuh dan dipakai berulang kali. Ini bagi menjimatkan kos mungkin keluarga B40 tidak mampu membelinya setiap hari.

“Kita minta KKM buat kajian dahulu. Kita mahu pelitup muka itu hanya dibeli sekali dan digunakan berulang kali untuk tempoh sebulan atau dua bulan.

“Selepas guna, mereka tidak perlu buang atau tukar, sebaliknya cuci sahaja,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19 di sini, hari ini.

Mengenai cadangan penggunaan purdah dan selendang, Ismail Sabri berkata, apa yang cuba dilakukan kerajaan itu adalah bertujuan untuk memudahkan rakyat menutup muka dan tidak membebankan sumber kewangan mereka.

Berhubung kluster Sivagangga, beliau menyatakan, kerajaan telah memberi kuasa dan budi bicara kepada polis menerusi Akta 342 untuk menjalankan tugas memastikan rakyat di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran itu mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada polis. Dalam akta itu, setiap yang langar SOP boleh dikenakan denda atau dihadapkan ke mahkamah. Ini (hukuman) ini biar polis tentukan.

“Bagi mereka yang melanggar perintah keluar dari kediaman pula, jika ada kes, ia akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada had bagi penduduk yang dikenakan PKPD Secara Pentadbiran, seperti rentas negeri atau sebagainya.

Katanya, larangan dan penguatkuasaan itu dibuat secara berfokus dan bersasar, iaitu di kawasan yang ada positif Covid-19 sahaja di sekat, bukan seluruh negeri Kedah atau Perlis. – MalaysiaGazette