PUTRAJAYA – Pejabat Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini membuat satu laporan polis berhubung dua fitnah yang dilemparkan kepada bekas pemimpin itu.
Laporan polis itu dibuat Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan di Ibu Pejabat Polis Dearah Putrajaya jam 10 pagi tadi.
Menurut Jefridin laporan itu berhubung khabar angin berlainan yang disebabkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.
“Secara umumnya ingin saya maklumkan kepada masyarakat berhenti menyebarkan berita yang tidak perlu kita sebarkan atau kita tidak yakin dan pastikan kita mendapat maklumat yang tepat sebelum kita kongsi kepada masyarakat kita pada hari ini.
“Bagi saya ini adalah suatu perkara yang tidak elok sememangnya masyarakat bebas untuk bercakap dan menyebar apa saja yang rasa mereka perlu kepada masyarakat tetapi berita kematian ini tidak bolehlah dipermain-mainkan terutama sekali orang yang kita tulis itu adalah negarawan,” katanya selepas keluar daripada IPD Putrajaya jam 11.15 pagi tadi.
Pada awal Ogos lalu, netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Abdullah atau Pak Lah itu.
Sehari selepas itu, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin bertindak menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin negara itu dan menyatakan Pak Lah berada dalam keadaan sihat.
Justeru itu, Jefridin menggesa kepada mana-mana pihak yang bertindak menyebarkan berita palsu ini agar segera memohon maaf kepada Pak Lah.
“Perkara ini salah dan saya rasa haruslah beliau (mana-mana individu) membuat satu permohonan maaf kepada masyarakat Malaysia khususnya dan keluarga Tun sendiri.
“Kita sudah buat silap apa salahnya kita memohon maaf kepada masyarakat tentang kekhilafan yang kita buat pada yang lepas,” katanya lagi.
Jefridin menambah pihaknya ada membuat kenyataan penafian berita itu pada 3 Ogos lalu dan ia dibuat melalui media.
Kes disiasat dibawah Seksyen 500, Kanun Keseksaan atas dakwaan menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Sabtu lalu, sekali lagi khabar angin kematian Pak Lah timbul di Facebook apabila pelayar kedai sosial itu, Tengku Shah Reza Aziz memuat naik status dengan berkata ‘ Tun Abdullah Ahmad Badawi baru kembali ke rahmatullah. 1153.hours. Usianya 81 tahun,’.
Abdullah yang berusia 81 tahun dilahirkan pada 26 November 1939 memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelima, juga sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009. – MalaysiaGazette