KUALA LUMPUR – Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid hari memohon maaf kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain ekoran pendedahan aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh, baru-baru ini.
Menurut beliau, dirinya tidak menyangka pendedahannya itu akan mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.
Malah Mohd Asri berkata, dia hanya ingin berkongsi masalah sebenar yang dihadapi penduduk sekitar kawasan itu dan tidak berniat untuk menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak.
“Kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain, saya minta maaf. Demi Allah, saya tiada masalah dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak marah sedikit pun.
“Cuma, ada rasa cemburu apabila MBSA kacau kedai saya tetapi tidak ambil tindakan terhadap kedai rokok seludup dan judi hingga mereka dapat beroperasi sehingga jam 3 pagi ketika premis lain sudah ditutup,” katanya menerusi live FB Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.
Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Sebelum ini tular satu video oleh beliau yang mendakwa terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.
Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh MBSA sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar.
Shafa’aton berkata berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, polis telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan berkenaan.
Mohd Asri turut menjelaskan bahawa beliau telah membuat laporan secara rasmi kepada pihak polis berhubung kegiatan premis judi itu tiga bulan lalu disusuli dengan satu lagi laporan kepada Jabatan Integriti PDRM.
Namun, apa yang berlaku premis judi tersebut tutup sekejap dan kembali beroperasi malah lebih mengecewakan mereka menambah lagi premis judi termasuk bersebelahan kedainya seolah-olah mencabar dirinya.
Dalam pada itu, Mohd Asri berkata setakat ini beliau tidak menerima ancaman daripada mana-mana pihak.
“Tiada yang ganggu (saya setakat ini),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Asri turut meminta masyarakat agar berhenti mengecam polis.
Ujarnya lagi, semua pihak harus bersama-sama membantu pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan perjudian atau lain-lain aktiviti tidak bermoral.
“Tolong henti kecam polis. Mereka ini permata harapan.
“Mari sama-sama bantu polis dan saya minta persatuan penduduk serta qariah masjid untuk turut sama memainkan peranan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette