Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Peruntukan geran sebanyak RM10,000 bagi setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang dibatalkan akan disalurkan untuk pembangunan negara.

Bagaimanapun, keutamaan akan diberi dalam usaha menangani kesan pandemik Covid-19, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

“Untuk geran RM10,000 ini kita berhadapan dengan isu sedikit kerana duit itu kita gunakan wang rakyat yang memerlukan ada kertas kerja.

“Ada dulu JPKK minta ke luar negara, yang itu kita tak boleh nak layan.

“Tak dinafikan hak JPKK untuk memohon kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan kementerian yang boleh memohon berhunung jalan desa, lampu kampung, bantuan rumah, dan bantuan lesen program sosial yang masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (BN) berhubung peruntukan geran kepada MPKK dan MPKKP bagi tahun ini sama ada masih dilaksanakan atau sebaliknya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah (PH), Cha Kee Chin yang meminta kerajaan memberi pertimbangan agar dana untuk digunakan oleh JPKK dan JPKKP, Abdul Latiff sempat berseloroh agar Kee Chin dapat membantu kerajaan mengeluarkan duit bagi membantu dua jawatankuasa itu di kawasannya.

“RM10,000 satu kampung, kita ada 15,757 kampung dan 873 kampung orang asli kalau dikalikan dengan RM10,000 dekat RM200 juta banyak itu, sebab itu kita tak boleh joli-joli ketika Covid ini.

“Kita akan berikan kepada sasaran yang tepat dan betul tapi macam Yang Berhormat (Rasah) ada peruntukan RM100,000 untuk pembangkang, takkan tak boleh bagi sikit dekat kampung-kampung,” sindirnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast