Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri diiringi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez (kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kepada Mimi Loma (tengah) pada Majlis Pelancaran Album dan Tabung Jim Madasamy di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak pernah meminggirkan penggiat-penggiat seni tanah air, sama ada dalam bidang seni, budaya dan warisan mahupin bidang muzik atau filem.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, penggiat seni juga tidak terkecuali dan masih tercari-cari tempat bertaut.

Menyedari senario itu, MOTAC mengambil inisiatif membantu 243 badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang terkesan akibat Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan sejumlah RM668,000 telah diagihkan untuk memberi peluang kepada NGO-NGO ini bangkit semula dan terus berjuang mengangkat serta memperkasa martabat seni, budaya dan warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Album & Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Hadir sama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Pengarah Urusan Amalan Setar (M) Sdn Bhd, Datuk Rajendran Ramasamy.

Kata Nancy, majlis anjuran badan korporat Amalan Setar itu bagi menggerakkan inisiatif membela golongan artis yang kurang bernasib baik dengan membentuk Tabung Prihatin Artis yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Muzik dan industri seni suara merupakan satu elemen penyumbang kepada penyatuan rakyat di negara ini.

“Tidak kira apa bahasa yang digunakan dalam karya seni dan dendangannya oleh mana-mana bangsa, rakyat di negara ini dapat berkongsi dan menghayati bersama.

“Keharmonian ekspresi dan budaya ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik untuk dikunjungi oleh pelancong luar,” katanya.

Katanya, mendiang Jim Madasamy yang juga pengasas dan pemain bass Kumpulan Blues Gang yang ditubuhkan pada akhir 70-an antara contoh terbaik menjadikan muzik sebagai alat untuk memupuk perpaduan dan meningkatkan harmoni antara kaum.

“Mendiang Jim terkenal dengan nyanyian lagu-lagu Melayu dan merupakan lambang kesatuan yang tidak asing di negara ini seperti Alleycats, Kenny Remy Martin dan Revolvers,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Amalan Setar turut menyampaikan replika cek berjumlah RM100,000 untuk disumbangkan kepada Tabung Prihatin Artis yang akan ditubuhkan kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast