KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu supaya menyiasat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Laporan itu dibuat Setiausaha Penyelaras Putra Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar pagi ini, selepas menonton rakaman video berkenaan di media sosial.
Katanya, terdapat bukti wujud unsur rasuah dalam kempennya meraih undi untuk pertandingan merebut jawatan Ketua Armada Nasional.
Beliau menyatakan, Timbalan Menteri itu jelas menyalahgunakan kuasa dengan berjanji akan mengeluarkan surat sokongan yang akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan kelulusan sesuatu pemohonan.
“Sebagai pemimpin muda, saya mewakili Putra Perak merasa kecewa dengan tingkah laku Wan Ahmad Fayhsal ini.
“Beliau adalah pemimpin muda, tetapi cuba mengamalkan budaya rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan sokongan atas kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam rakaman video berdurasi 23 saat itu, Wan Ahmad Fayhsal dikatakan memberi jaminan menggunakan pengaruhnya dalam kerajaan untuk membantu Armada Nasional sekiranya menang jawatan ketua sayap parti itu.
Beliau dipercayai berkata demikian ketika berkempen di Pahang baru-baru ini.
Menurut Azrul Suhadi, selama ini anak muda melaungkan penolakan budaya rasuah, tetapi hari ini, wakil mereka yang diangkat sebagai pemimpin dengan tanpa rasa segan silu mengamalkan janji berbentuk sogokan.
“Putra Perak kecewa kerana parti Bersatu selama ini memperjuangkan anti-rasuah dan menolak kleptokrasi, tetapi dalam pemilihan parti sendiri, pemimpinnya terang-terangan mengamalkan kleptokrasi.
“Putra konsisten menentang budaya dan amalan rasuah di kalangan pemimpin politik Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette