Sehingga hari ini belum ada vaksin yang disahkan berkesan.

BERLIN – Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn mendakwa vaksin Covid-19 Rusia belum cukup diuji sedangkan tujuan pembangunan vaksin untuk mendapatkan produk yang selamat berbanding menjadi yang pertama untuk memberi vaksin kepada orang ramai.

Presiden Vladimir Putin pada hari Selasa mengumumkan Rusia telah menjadi negara pertama yang memberikan kelulusan peraturan untuk vaksin Covid-19 setelah kurang daripada dua bulan melakukan ujian ke atas manusia.

Keputusan Moscow memberikan kelulusan sebelum percubaan akhir selesai telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pakar.

”Ia boleh bahaya untuk memulakan vaksinasi kepada berjuta-juta orang, jika tidak berbilion-bilion orang, ia terlalu awal kerana boleh membunuh penerimaan vaksinasi jika ia salah, jadi saya sangat skeptikal tentang apa yang sedang terjadi di Rusia.

“Saya akan gembira jika kita mempunyai vaksin awal yang baik tetapi berdasarkan semua yang kita tahu – dan itu adalah masalah asasnya, iaitu Rusia tidak banyak berkongsi mengenainya dan ia belum cukup diuji,” tambahnya.

Tegasnya, adalah sangat penting, bahkan selama pandemik berlaku, untuk melakukan kajian dan ujian yang tepat, hasilnya perlu terbuka supaya orang ramai percaya akan vaksin tersebut.

“Ini bukan tentang menjadi yang pertama – ini mengenai vaksin yang berkesan, diuji dan selamat,” katanya ketika ditanya mengenai vaksin Rusia, yang akan disebut “Sputnik V”.

Hanya sekitar 10 peratus ujian klinikal yang berjaya dan sebilangan saintis takut Moscow mungkin meletakkan prestij negara berbanding keselamatan vaksin tersebut.

Presiden Putin telah menegaskan bahawa vaksin itu benar-benar selamat.

Menteri Kesihatan Rusia Mikhail Murashko menyifatkan tuduhan bahawa vaksin Covid-19 Rusia tidak selamat adalah tidak berasas dan didorong oleh persaingan, lapor agensi berita Interfax. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast