SHAH ALAM – Koir Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkul empat anugerah dalam semua kategori pada pertandingan koir secara maya ‘1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition’ yang berlangsung di Jepun.
Dalam keputusan diumumkan semalam, pasukan UiTM Chamber Choir (UCC) dari Fakulti Muzik UiTM yang mempertaruhkan lagu tradisional Kelantan, ‘Ewa Bule’ dipilih menjadi juara bagi kategori Anugerah Kegemaran Penonton serta masing-masing naib juara bagi Anugerah Hiburan, Anugerah Muzik dan Anugerah Khas Hakim.
Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof Madya Dr Tazul Izan Tajuddin berkata sambil mendendangkan lagu ‘Ewa Bule’ itu pasukan koir itu turut memperagakan pakaian dan tarian tradisi daripada pelbagai kaum serta etnik di negara ini.
“UCC menghasilkan inisiatif dengan mengubah semula lagu tersebut yang pada asalnya merupakan sebuah lagu dikir barat kepada versi koir. Ia adalah idea kreatif dan suntingan yang semuanya dilakukan oleh ahli UCC dengan bimbingan Prof Madya Dr Masashi Kishimoto dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tazul Izan berkata pencapaian tersebut menunjukkan kerjasama serta persefahaman pelajar bersama tenaga pengajar fakulti terbabit dalam menampilkan kebolehan dan kemahiran masing-masing pada peringkat global.
“Pertandingan secara maya itu julung kali dianjurkan dalam suasana kebiasaan baharu bermula 31 Julai lepas dengan 111 penyertaan pelbagai negara.
“Penilaian dilakukan berdasarkan kualiti suara, kandungan serta teknik suntingan bermutu tinggi dan kreatif. Kelebihan UCC adalah pada kualiti suara dihasilkan dengan kepelbagaian suku kaum serta etnik di Malaysia yang ditonjolkan ketika persembahan secara maya,” katanya.
Panel juri terdiri daripada Prof Hideki Motoyama, iaitu presiden Kolej Muzik Osaka yang juga konduktor ‘Choral’, serta komposer Kentaro Sato dan Masaya Ishiwaka.
Menurut Tazul Izan, ketiga-tiga panel juri itu merupakan pakar yang berpengalaman malah terkenal dalam bidang koir dan komposer di Jepun.- BERNAMA