Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaini Aziz yang telan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 58 Slim di Dewan Rajawali Geda Residence Trolak, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2020.

SLIM – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Pengumuman calon itu dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengarah PRK DUN Slim.

Saarani berkata, pemilihan Mohd. Zaidi, 43, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dibuat selepas membuat penelitian dan penilaian yang sewajarnya dalam kalangan sembilan nama yang dikemukakan.

“Pimpinan tertinggi UMNO telah membuat penelitian dan penilaian nama untuk diangkat sebagai calon. Kesemuanya tokoh yang layak dan berkaliber namun hanya seorang sahaja dipilih di kalangan terbaik.

“Mohd. Zaidi adalah calon yang boleh menang daripada sembilan nama sebelum dipendekkan kepada lima dan tiga nama,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pengumuman di Dewan Rajawali Felda Residence Trolak itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Mohd. Zaidi menjadi pilihan pucuk pimpinan parti kerana beliau aktif dan memiliki pengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, bapa kepada empat anak itu kini adalah Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia dan pernah menjawat Timbalan Presiden, Majlis Belia Malaysia pada 2014 selama empat tahun.

Sementara itu, Mohd. Zaidi yang juga usahawan berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih menjadi ADUN Slim bagi meneruskan kecemerlangan UMNO di kawasan itu.

Beliau merupakan yang juga anak kelahiran Kampung Slim Village di Slim River adalah juga Ketua UMNO cawangan Kampung Slim Village.

Mohd. Zaidi juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian serta ahli jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO Malaysia.

PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu yang ketika PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – MalaysiaGazette