BEIJING – China melancarkan kempen ‘Clean Plate’ dalam usaha mengurangkan pembuangan sisa makanan.
Presiden Xi Jinping berkata, jumlah sisa makanan yang dibuang mengejut dan menyedihkan.
Menurut beliau, China harus mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan makanan.
Kempen ini dilakukan selepas berlaku banjir besar di selatan China yang menghancurkan hasil pertanian dan bertan-tan hasil pertanian musnah.
Susulan mesej yang dikeluarkan oleh Xi, Persatuan Industri Katering Wuhan menggesa restoran-restoran di bandar itu menghadkan jumlah hidangan yang disediakan untuk kumpulan mesti kurang daripada jumlah pengunjung.
Tetapi kemungkinan sistem ini akan mengambil masa untuk disesuaikan di negara China, yang mana budayanya menganggap adalah lebih sopan untuk memesan lebih banyak hidangan daripada jumlah yang diperlukan.
Dalam hidangan untuk satu kumpulan, pinggan kosong memberi isyarat kurang baik bagi tuan rumah.
Ini bukan kali pertama China melancarkan kempen tersebut.
Pada tahun 2013, kempen “Operation Empty Plate” dilancarkan, khusus bagi pesta dan resepsi mewah yang diadakan oleh para pegawai kerajaan.
Menurut WWF China, sekitar 17 hingga 18 juta tan sisa makanan di China pada tahun 2015. – MalaysiaGazette