Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kelihatan sebak ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui tiada satu malam beliau tidak pernah tidur lena kerana timbalannya, Datuk Mazlan Mansor sentiasa berada di sisinya untuk menangani segala cabaran.

Ketua Polis Negara berkata, selepas 40 tahun sembilan bulan berkhidmat bersama dari pangkat Inspektor Percubaan, beliau dengan berat hati terpaksa berpisah dengan seorang pegawai yang taat serta berintegriti tinggi dalam menjalankan tugas sejak empat dekad lalu.

“Sejak hari pertama lagi Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei 2019 lalu saya berikan segala kepercayaan kepadanya dan dia taat setia melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

“Bersyukur dapat membalas dengan menghasilkan prestasi kerja yang sangat cemerlang dengan kelayakan akademik berkelulusan undang-undang dari University of Wale, England.

“Selama ini saya relaks sangat dan tidak pernah ada satu malam pun saya tidak boleh tidur walaupun banyak sangat isu yang menekan saya kerana adanya timbalan saya yang penuh berpengalaman dan berkelayakan tinggi yang mana saya tahu dia mampu terima segala cabaran sebelum ia datang pada saya dan menyelesaikannya,” katanya dalam nada sebak pada sidang media di Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Serah Terima Tugas antara Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Datuk Seri Acryl Sani Abullah Sani yang akan memangku jawatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kiri) kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2020.

Menurut Abdul Hamid, beliau memiliki ilmu dan pengalaman yang terhad namun dengan adanya seorang timbalan yang berdisiplin dan tegas dalam menjalankan tugas selain kelayakan akademik dari England memungkinkan segalam cemuhan terhadap PDRM dapat ditangkis.

“Dia bijak dan berpengalaman sangat sehingga membantu saya menangkis apa sahaja tuduhan (dan) cemuhan yang boleh mengaibkan PDRM berjaya ditanganinya dengan kebijaksanaannya,” katanya.

Kata Hamid Bador lagi beliau sebenarnya cuba mengawal emosinya ketika berucap di majlis hari ini namun kalah.

“Sukar untuk saya kawal emosi namun saya cuba sedaya upaya supaya tidak membiarkannya tetapi kalah juga sebab ini persahabatan akrab kami yang terjalin dalam PDRM sejak 40 tahun lalu dan tidak sampai hati melepaskannya.

“Kami tidak pernah berpisah dalam setiap latihan dan pasukan sejak latihan pertama di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak lagi.

“Kerjasama selama ini baik sangat dari Mazlan. saya tak perlu takut ada orang nak tikam belakang saya sebab dia (Mazlan) uruskan semua dan selesaikan dengan cekap.

“Dia berdedikasi dalam setiap tugasan yang diamanahkan dan saya telah bersyukur memilikinya sebagai timbalan selama ini. sebab terlalu mengenangkan jasanya, tidak dapat menahan kesedihan dia nak bersara,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Thanks IGP for your services. It is about time for him to handover his position to Datuk Ayub Khan who is more qualified than anyone in the police force. He has a Masters degree and an expert on counter terrorism.

Comments are closed.