Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (tiga dari kanan) bergambar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (tiga dari kiri) dan CEO Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed (kiri) serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keuarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin (kanan), Ketua Pegawai Perniagaan bank Islam Malaysia Berhad Mizan Misram (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail (dua dari kanan) selepas menandatangani memorandum persefahaman bagi program kebajikan sosial berasaskan platform ekonomi digital dalam mewujudkan masyarakat pintar ketika di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjangkakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melonjak tiga kali ganda selepas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional dinaikkan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, disebabkan itu, warga JKM perlu bersedia dengan teknologi yang ada bagi memastikan bantuan yang bakal disalurkan terutamanya kepada penerima-penerima baharu tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, sebelum ini penerima bantuan JKM adalah seramai 500,000 orang pada setiap bulan.

“Anjakan daripada RM980 kepada RM2,208 bermaksud kadar kemiskinan negara meningkat daripada 0.4 peratus kepada 5.6 peratus dan mencerminkan realiti rakyat.

“Menyedari hakikat ini, inisiatif Masyarakat Pintar diharapkan dapat menangani tiga cabaran utama antaranya masalah kemiskinan,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena pemeteraian memorandum persefahaman Program Kebajikan Sosial Berasaskan Platform Ekonomi Digital Dalam Mewujudkan Masyarakat Pintar di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed.

Tambah Rina, bantuan kepada rakyat haruslah bersifat strategik apabila jumlah kemiskinan meningkat susulan semakan semula PGK dan pandemik Covid-19.

Dengan itu, pengumpulan data dapat mendorong kepada pendekatan lebih bersasar dalam memberi bantuan kewangan dan sosial dengan segera.

“Inisiatif masyarakat tanpa tunai (cashless society) dengan usaha sama Bank Islam ini dipercayai dapat membantu mengumpulkan data pengunaan wang bantuan kerajaan dan seterusnya membolehkan penyaluran dana yang lebih efisyen,” katanya lagi.

Selain itu, Rina turut mencadangkan syarikat-syarikat korporat supaya menjadikan nilai perkongsian korporat (CSV) sebagai model perniagaan mereka.

CSV katanya, boleh digabungkan dengan tanggung jawab sosial korporat (CSR) sebagai satu bentuk model perniagaan yang holistik.

“Model ini menjana keuntungan dan dalam masa yang sama menyelesaikan masalah masyarakat.

CSV bukan kerja kebajikan sebaliknya sebuah model perniagaan yang dipacu oleh kehendak untuk menyelesaikan masalah komuniti, memastikan situasi menang-menang dicapai,” ujarnya.- MalaysiaGazette