KUALA LUMPUR – Mohd Asri Hamid Asri selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau keluar bersama peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan sebelum menaiki kereta Honda Accord putih dan beredar dari situ.
Ahmad Amzar berkata, pada hari ini keterangan Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Asri Janggut selesai dirakam Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) selama sejam setengah di sebelah pagi dan sejam setengah lagi pada sebelah petang.
“Untuk hari ini siasatan sudah selesai namun kami tidak dimaklumkan oleh pegawai polis tadi sama ada Asri perlu datang lagi untuk keterangan tambahan.
“Tetapi untuk kami menganggap proses ambil keterangan untuk hari ini sudah selesai dan lengkap,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mohd Asri dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan kenyataannya yang didakwa menghina polis dan tentera tdua rakaman video.
Rakaman video wawancara Sinar Harian bertajuk Isu Judi : Fitnah atau Realiti yang berdurasi sejam 14 minit dan rakaman video wawancara bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM) yang berdurasi 50 minit 53 saat tular di laman media sosial.
Hasil penelitian USJT terhadap kedua-dua video wawancara itu mendapati terdapat unsur-unsur kenyataan jelik serta penghinaan terhadap pihak berkuasa keselamatan.
Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. – MalaysiaGazette