logo mahkamah

KUCHING – Lelaki yang menyerah diri kepada polis semalam, mendakwa dia terbabit dalam pemerdagangan organ manusia antarabangsa, direman tujuh hari untuk membantu siasatan polis.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Mosidi Husseini, yang bersidang sebagai majistret, susulan permohonan dikemukakan Pegawai Penyiasat, ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M M Sree semalam mengesahkan penahanan lelaki itu yang menyerah diri di ibu pejabat polis daerah Kuching pada kira-kira 1.45 tengah hari.

Dalam kenyataan dikeluarkan susulan penahanan itu, Dev Kumar berkata, suspek tampil di ibu pejabat polis itu selepas mengetahui dia diburu polis susulan dia didakwa memberitahu wartawan The Sun yang menyamar bahawa dia broker penjualan buah pinggang yang diperoleh daripada mangsa miskin.

Polis menyiast kes itu mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu wartawan yang dia boleh menguruskan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain.

Dalam artikel itu, lelaki itu digambarkan sebagai broker jahat yang telah mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk mengumpan mangsa yang dilanda kemiskinan dari seluruh dunia menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Itu yang orang miskin jual, yang dicuri atau diculik untuk dapatkan organ bagaimana pula, harap siasat sampai lubang cacing, banyak kes culik kanak-kanak masih tidak selesai ni.

Comments are closed.