Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz (kiri) beramah mesra dengan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (tengah) dan Prof S. Sentharasekaran selepas menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd. Zaidi Aziz, 43, yang mewakili BN, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan Prof S Santharasekaran, 44.

Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Shamsul Ridzuan Idris pada pukul 10.35 pagi.

Beliau mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima semua kertas pencalonan oleh ketiga-tiga calon pada pagi ini.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika mengumumkan nama-nama calon.

Bekas pendidik dan aktivis alam sekitar, S Santharasekaran yang menggunakan simbol buku menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9.02 pagi.

Beliau dicadang dan disokong oleh P Canthiran dan Lai Kin Kheong.

Mohd Zaidi yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.03 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu.

Mengambil semangat Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, pencalonan Mohd Zaidi disokong oleh Yang Dipertua Pas Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Abdul Rahman dan dicadangkan Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim, M Mahendran.

Seorang lagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili parti baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan borang pencalonan pukul 9.04 pagi.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Allahyaram merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.