SEBAHAGIAN daripada 2,100 peserta ketika memulakan larian santai kategori 2.5km dan 5km di Taman Wawasan, Putrajaya.

TARIKH 15 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang penuh bermakna kepada golongan belia. Seperti tahun-tahun lepas, negara kita menyambut Hari Belia Negara pada tarikh ini sebagai menghargai peranan dan sumbangan belia kepada pembangunan negara. Memandangkan negara masih berjuang menangani wabak COVID-19, maka sambutan Hari Belia Negara bagi tahun ini telah ditangguhkan dari bulan Mei kepada bulan Ogos.

Tema yang dipilih untuk sambutan Hari Belia tahun ini adalah “Dekad Ini, Dekad Anda”, menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama kepada hala tuju pembangunan negara. Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat beberapa pengumuman penting semasa merasmikan sambutan Hari Belia Negara.

YAB Perdana Menteri bersetuju untuk membentuk kumpulan khas penasihat anak muda dalam usaha kerajaan memperkukuhkan landasan pembangunan golongan terbabit di negara ini. Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bakal melantik seorang wakil belia sebagai senator di Dewan Negara. Kedua-dua pengumuman ini menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional cakna akan kehendak dan aspirasi anak muda di negara kita. Kerajaan Perikatan Nasional banyak menerima pandangan yang cukup kolektif daripada badan belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM).

Belia dan Covid-19

Kerajaan Perikatan Nasional menghargai gologan belia dari pelbagai kaum yang tampil membantu masyarakat sepanjang tempoh negara kita menangani wabak COVID-19 ini. Ramai belia yang terlibat sebagai petugas di barisan hadapan dalam sektor kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelaan dan kemasyarakatan. Tidak dilupakan juga kepada yang menyumbang idea-idea kreatif dan berinovasi dalam membantu mempermudahkan lagi urusan sesama rakyat.

Para pemimpin belia, agamawan muda dan artis belia yang berpengaruh di media sosial turut memberi sokongan dengan kempen “duduk rumah” dan “kita jaga kita” sebagai usaha dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap kepentingan untuk menjayakan usaha melawan Covid-19. Seramai 13 orang anak muda, yang kebanyakannya menjadi wira atau wirawati Covid-19, diberikan anugerah penghargaan kepada 13 orang pemenang Anugerah Perdana Belia Negara.

Ini termasuk penceramah bebas Ebit Irawan Ibrahim Lew atau dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, yang menerima anugerah khas. Norfarrah Syahirah Shaari, 32, menjadi seorang daripada penerima Anugerah Wira Belia Covid-19. Beliau merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menjahit menggunakan kaki serta menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), biarpun tidak mempunyai kedua belah tangan. Tahniah dan terima kasih diucapkan atas sumbangan yang diberikan kepada negara, tatkala negara berdepan krisis.

Cabaran Getir Ekonomi

Hasil tinjauan Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menunjukkan 95.8% belia menyokong inisiatif bantuan kewangan Kerajaan menerusi Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk mendayaupayakan ekonomi belia yang terjejas akibat wabak Covid-19. 78.7% belia pula melihat inisiatif kerajaan ini mampu meningkatkan semula ekonomi negara. Dapatan ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa perancangan yang dibuat oleh kerajaan ini selari dengan harapan golongan belia. Peruntukan hampir RM10 bilion yang telah diumumkan oleh Kerajaan sebelum ini perlu dimanfaatkan oleh semua golongan belia.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat pengumuman untuk menyemak semula ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini antara -3.5% hingga -5.5%. Semakan ini diselaras dengan perubahan dalam ramalan pertumbuhan dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlarutan. Sebelum ini, BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara -2% dan 0.5% untuk tahun ini. Jelas, wabak Covid-19 memberi kesan buruk “lebih besar daripada yang dijangkakan” dalam aktiviti ekonomi pada separuh pertama tahun ini dan pemulihan itu dijangka beransur-ansur berbanding ramalan sebelumnya.

Peranan belia turut membantu membudayakan hasrat kerajaan untuk mengamalkan norma baru dengan mendorong kepada peningkatan penggunaan platform digital dalam perniagaan. Selain daripada sekadar berkomunikasi, belia telah dapat memanfaatkan platform digital untuk menjana pendapatan. Ini telah membuka peluang kepada sektor industri yang menjana manfaat jangka pendek, seperti industri e-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan. Dewan Pemuda iKATAN Malaysia (DPIM) berharap Kerajaan Perikatan Nasional terus membuka ruang ekonomi agar peluang pekerjaan dapat diwujudkan tatkala ramai yang diberhentikan pekerjaan pada awal PKP.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap peranan belia di dalam negara ini dapat diperkasakan. Diharapkan pimpinan NGO belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) dapat bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menganjurkan Kongres Belia Nasional yang diwakili oleh pemimpin belia segenap lapisan, termasuklah pimpinan NGO belia, parti politik dan individu yang boleh memacu kemajuan negara kita, untuk 10 tahun akan datang menjelang 2030 selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kertas kerja pelbagai aspek, seperti ekonomi, politik, perpaduan dan trend belia semasa perlu dibincangkan dan diangkat kepada pimpinan negara kita.

Selamat menyambut Hari Belia Negara. Dekad Ini, Dekad Anda!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Naib Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast