KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) tidak menolak kemungkinan untuk akan membuka keahlian kepada parti politik berbilang kaum selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai gagasan politik baharu yang diterajui UMNO dan Pas itu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu akan diambil selepas MN secara prinsip bersetuju menerima penyertaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
“Ketika ini, MN hanya sedang meneliti beberapa perkara seperti keperluan meminda piagam dan mengadakan perjanjian persefahaman bagi membolehkan Bersatu menyertai gabungan itu secara rasmi.
“Langkah seterusnya adalah MN akan menjemput parti berbilang kaum untuk menyertai gabungan ini kerana MN bukan gabungan parti berasaskan Melayu,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, walaupun MN kini dianggotai parti berasaskan Melayu dan Islam seperti UMNO, Pas dan Bersatu, namun gagasan itu berteraskan semangat dan konsep kepelbagaian kaum di negara ini.
“Sudah tentu (MN) diketuai UMNO, Pas dan Bersatu, tapi semangat dan konsepnya adalah pelbagai kaum, seperti yang kita bangunkan negara ini. MN bukan Taliban,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Annuar mengakui bukan mudah untuk MN menerima penyertaan Bersatu yang sebelum ini bersama Pakatan Harapan (PN) dan perkara sama berlaku di antara UMNO dan Pas.
“Satu keputusan tak semua gembira, tak macamitu, MN sendiri ambil masa setahun lebih…itu pun ada setengah tempat yang dah ok…ada tempat lain masih dingin.
“Benda itu normal sebagai sebuah parti politik yang berbeza-beza, jadi kita kena tunjukkan kematangan dalam politik, pendekatan yang mengelak situasi tak harmoni. Buat masa ini itu keadaannya,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan yang diambil MN itu untuk menjadikan politik Malaysia lebih stabil susulan ketidakstabilan politik negara terjadi sejak runtuhnya Kerajaan PH, Februari lalu.
“Buat pertama kali rakyat tak dapat satu kerajaan yang kuat, buat pertama kali selepas merdeka kita tak dapat kerajaan yang stabil, kerajaan yang bezanya (margin) ada dua tiga kerusi sahaja.
“Sedangkan kita ada tugas kepada rakyat terutama dalam nak memulihkan ekonomi, nak pulihkan ekonomi kita perlukan negara yang stabil, nak jadi negara stabil perlu kerajaan yang kuat.
“Jadi sebenarnya tanggungjawab kepada rakyat adalah cari jalan untuk stabilkan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, bukan cari jalan gaduh dan pecah-belahkan parti macam satu parti lagi satu, kita sibuk nak dirikan rumah…dia masih cari jalan nak runtuhkan rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette