Kerajaan menerusi pihak berkuasa sentiasa menekankan orang ramai agar memakai pelitup muka ketika berada di luar dan tidak memakainya adalah satu kesalahan utama.

PARIS – Perancis mencadangkan pemakaian pelitup muka dikuatkuasakan di ruang tempat kerja yang berkongsi susulan lonjakan kes koronavorus dalam tempoh 24 jam kepada 3,000.

Kementerian Kesihatan melaporkan 3,310 kes jangkitan baharu koronavirus, kenaikan dalam empat hari berturut-turut.

Jumlah kluster yang disiasat juga bertambah sebanyak 17 kepada 252.

Kenaikan itu mendorong Britain untuk mengenakan kuarantin 14 hari bagi orang-orang yang baharu tiba dari Perancis, selain memperluaskan zon di ibu kota di mana memakai pelitup muka di luar rumah adalah wajib.

Menteri Pekerjaan, Elisabeth Borne pada Selasa lalu berkata, beliau akan mengusulkan perkara itu semasa perbincangan dengan majikan dan perwakilan kesatuan pekerja.

“Malah pakar-pakar turut berpendapat keperluan memakainya (pelitup muka) ketika bersama beberapa orang di ruang tertutup,” kata Borne dalam wawancara dengan surat kabar Perancis Le Journal du Dimanche.

Para doktor juga telah berulang kali meminta supaya memakai pelitup muka di pejabat dan mewajibkan pemakaian alat perlindungan itu di ruang terbuka.

Kenaikan jumlah kes meningkatkan purata jangkitan baharu selama tujuh hari melepasi 2,000 kes untuk pertama kalinya sejak April, ketika Perancis melaksanakan sekatan pergerakan di Eropah.

Bilangan pesakit di hospital telah menurun dalam beberapa minggu kebelakangan ini walaupun kes Covid-19 baharu meningkat, dengan pakar menunjukkan penyebaran virus adalah dalam kalangan orang muda.

Walau bagaimanapun, angka harian terbaharu menunjukkan sedikit peningkatan jumlah pesakit hospital, kepada 4,857 berbanding 4,828 sehari sebelumnya, serta peningkatan jumlah pesakit rawatan rapi kepada 376 orang daripada 367 orang. – MalaysiaGazette